MINGGU Fesyen Paris telah melabuhkan tirai baru-baru ini, apa yang menarik perhatian apabila salah seorang pereka menampilkan koleksi berlainan. Mana tidaknya, hampir kesemua model yang memperagakan busana rekaannya berjalan di pentas dengan memakai topeng muka, susulan merebaknya wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia ketika ini. ARTIKEL BERKAITAN: Curi perhatian di Minggu Fesyen Milan, ini 5 gaya pilihan Neelofa Ia hasil karya pereka Perancis, Marine Serre yang memberi sentuhan isu semasa walaupun ia telah lama disiapkan sebelum wabak itu menular. Selepas anti pencemaran, Marine tampil dengan koleksi seiring isu wabak Covid-19. Malahan, pereka berkenaan juga menggunakan topeng muka dan vel bagi modelnya menutup wajah ketika memperagakan rekaannya pada pertunjukan yang berlangsung September tahun lalu ketika koleksi musim panas. Ketika itu, pemakaian topeng muka dan vel itu bagi mengetengahkan aspek anti pencemaran. Bagaimanapun kini, sesuai dengan kebimbangan global dengan wabak berkenaan, koleksi pereka ini mendapat pujian. Selain model, penonton juga dilihat memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga. Bukan sahaja topeng muka, malahan vel juga menjadi aksesori rekaan Marine. Dilaporkan sebelum ini, minggu fesyen yang berlangsung di New York, London, Milan dan Paris juga terkesan akibat penyebaran wabak berkenaan. Malah beberapa jenama terpaksa membatalkan pertunjukan kerana arahan kuarantin. Bagi yang meneruskan persembahan mengikut jadual, ia terpaksa dilangsungkan tanpa model dari China, pembeli atau jurucakap dalam kalangan selebriti yang berperanan membuat posting di media sosial, selain tempahan borong dalam industri pasaran itu.