suria

Terlajak unik! Karya beg tangan tulang manusia bawa padah buat pereka fesyen Indonesia

Beg tangan menggunakan lidah buaya dan tulang belakang manusia itu mendapat kecaman netizen.

PERNAH anda terfikir untuk menjinjing beg tangan diperbuat daripada tulang manusia? Seram bukan?

Tetapi itulah dilakukan oleh seorang pereka fesyen Indonesia iaitu Arnold Putra yang mendakwa menghasilkan beg tangan menggunakan lidah buaya dan tulang belakang manusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Karya Kide Baharudin bawa budaya Kuala Pilah ke persada dunia

Lebih menjijikkan, menerusi Instagram, Arnold turut memperincikan tulang jenis apa digunakan untuk penghasilan sesuatu beg yang ada di antaranya menggunakan tulang kanak-kanak yang mengalami osteoporosis.

Arnold bagaimanapun mendakwa, dia mendapat bekalan tulang manusia itu secara sah daripada 'lebihan' perubatan di Kanada.

Arnold memberitahu dia menggunakan tulang belakang kanak-kanak bermasalah osteoporosis bagi menghasilkan beg tangan tersebut.

Tidak cukup itu, dia turut dikatakan menggunakan kulit manusia albino dalam koleksi pakaiannya.

Pengakuan Arnold itu bukannya mengagumkan penggemar fesyen sebaliknya mendapat kecaman yang rata-rata menyifatkan pereka fesyen itu hilang akal!

Insider melaporkan beg tangan itu dijual dengan harga AS$5,000 (RM20,000) dan ia mula dijual sekitar 2016 namun kewujudannya hanya disedari baru-baru ini apabila ia menjadi topik perbualan hangat di Twitter.

Arnold didakwa menggunakan tulang belakang manusia itu sebagai pemegang beg dan pakar perubatan percaya ia adalah tulang asli.

Siapa sebenarnya Arnold Putra? Dia dikatakan seorang yang kaya raya dan menjalani kehidupan mewah selain gemar melancong ke destinasi eksotik.

Arnold juga pernah mendapat jolokan 'Rich Kids of Instagram' pada 2017 dan Tatler Indonesia menamakannya sebagai pengumpul kereta paling banyak di Indonesia.

Artikel Lain