PENJAGAAN kulit merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seharian tidak kira golongan lelaki mahupun wanita. Ia sudah tidak asing lagi terutamanya kulit di bahagian muka. Jadi tidak hairan jika zaman ini yang ada antara kita sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi mengekalkan kecantikan kulit supaya sentiasa kelihatan muda remaja.ARTIKEL BERKAITAN: Ideal minum 8 gelas air sehari, jika tidak reda saja jerawat tumbuh di wajah Menurut pegawai perubatan, Dr Che Hafiz, ciri-ciri kulit yang sihat dan cantik termasuklah licin, tegang, anjal, kemerah-merahan dan bebas daripada jerawat. "Jerawat merupakan salah satu penyakit kulit yang popular bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi di seluruh dunia. "Kebanyakan mereka yang mengalami masalah itu terutama ketika jerawat 'breakout' akan menyebabkan individu tersebut berasa tertekan sehingga berasa malu hendak berhadapan dengan orang ramai," katanya. Dr Che Hafiz memberitahu salah satu punca bagaimana terjadinya jerawat breakout ini adalah daripada keadaan hormon di dalam badan yang tidak stabil. Berikut adalah antara tip yang dikongsikan Dr Che Hafiz dalam membantu anda menjaga kulit muka dengan baik dan supaya kelihatan muda. 1. Kenali jenis kulit Jika faham jenis kulit sudah tentu mudah untuk mengenal pasti sama ada kulit anda berminyak, kering, sensitif atau bermasalah di mana ia memerlukan nasihat daripada doktor. Paling penting jika anda mempunyai masalah kulit seperti jerawat jangan memandai-mandai memicit jerawat itu sendiri tanpa menggunakan teknik yang betul. Ini boleh menyebabkan masalah kulit menjadi lebih teruk dan parut kekal. 2. Buat pemilihan 'facial cleanser' dengan bijak Produk pencuci muka yang tidak sesuai seperti mengandungi bahan kimia boleh mempengaruhi kulit kita. Sebaik-baiknya, pilih pencuci muka yang mempunyai PH di antara 4.5-7.0 dan elak menggunakan pencuci muka yang mengandungi sulphates. 3. Pelembap muka dan toner Untuk jenis kulit mudah kering, boleh pakai pelembap muka dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur manakala toner cukup sekadar sekali sehari. 4. Penggunaan primer Bagi yang memakai solekan, anda digalakkan untuk memakai primer terlebih dahulu sebelum menyapu bedak asas. 5. Sunblock Anda digalakkan juga untuk memakai sunblock jika sentiasa terdedah kepada sinaran cahaya matahari. SPF sunblock bergantung kepada jenis kulit dan berapa lama anda berada di bawah matahari. 6. Pemakanan Pemakanan memainkan peranan dan faktor besar dalam proses penjagaan kulit muka kita. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula. Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Jika anda seorang yang sibuk dengan kerja, pengambilan suplemen seperti multivitamin juga digalakkan. Jangan lupa minum air secukupnya (2-3 liter sehari) bergantung kepada berat badan dan aktiviti individu. Ini adalah untuk mengekalkan hidrasi badan dan baik untuk kulit. 7. Senaman Bersenamlah sekurang-kurangnya tiga ke lima kali seminggu. Anda boleh lakukan senaman seperti joging atau berenang serta senaman lain mengikut kesesuaian. Ingat sihat dan cantik itu seiring! 8. Tidur dan rehat mencukupi Tidurlah dengan berkualiti sekurang-kurangnya enam ke lapan jam sehari. Dengan rehat yang mencukupi, ia boleh merangsang kecantikan pada kulit wajah malah ia boleh mengatasi tekanan. 9. Rawatan wajah Lakukan rawatan wajah dua minggu atau sebulan sekali bergantung kepada masalah dan jenis kulit. Sebaik-baiknya berunding dengan doktor deermatologi atau aesthetic bagi mendapatkan nasihat yang tepat sama ada kulit wajah anda memerlukan rawatan seperti laser atau chemical peeling. Dr Che Hafiz turut menasihatkan agar menjaga kebersihan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat kerana kulit yang cantik mencerminkan keperibadian diri. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!