MEMANDANGKAN seluruh dunia terkesan dengan pandemik Covid-19, gaya santai duduk di rumah dilihat menjadi trend fesyen pada 2021. Walaupun fesyen sentiasa berubah-ubah, tetapi gaya memakai pakaian santai sudah tidak asing lagi dan menjadi pilihan kebanyakan orang.ARTIKEL BERKAITAN: Jom periksa koleksi lama anda... 5 jenis jeans ini dijangka kembali popular tahun 2021 Berikut merupakan tiga fesyen yang dijangka bakal menjadi trend pada tahun 2021: 1. Pakaian Athflow Athflow merupakan gaya kasual baharu seperti memakai seluar longgar dan pakaian besar (oversized) yang menampakkan seseorang itu kelihatan santai dan tenang. Meskipun gaya ini santai dan tidak formal, ia masih sesuai dikenakan ke tempat kerja kerana pemakaian seperti ini masih nampak profesional. Pencarian kata kunci pakaian seperti ini di Pinterest turut melonjak naik, oleh itu ia dijangka menjadi trend fesyen sangat diminati pada tahun depan. 2. Pakaian rumah Pakaian untuk keluar rumah bukan sahaja memainkan peranan malah pakaian duduk di rumah juga penting. Apabila di rumah, sudah pasti orang ramai ingin sesuatu yang mudah dipakai dan paling penting selesa apatah lagi ramai yang masih bekerja dari rumah. Meskipun banyak melakukan aktiviti di kediaman masing-masing, ramai yang masih memilih untuk tampil kemas dan anggun. Oleh itu, pakaian seperti sweater, hoodie dan baju-T akan kembali popular dengan penambahan aksesori sebagai pelengkap gaya. 3. Pakaian gaya sendiri Trend fesyen seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, bagaimanapun dengan situasi sekarang, ramai tidak dapat keluar membeli-belah pakaian baharu dan lebih gemar menyuaipadankan koleksi yang ada. Salah satu yang popular adalah jaket denim yang boleh dikatakan tidak ditelan zaman dan boleh disesuaikan dengan apa juga pakaian untuk menampakkan kelainan. Gaya yang dicipta sendiri ini nampaknya bakal popular dalam kalangan generasi Z. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!