suria

“Tidak timbul soal riyak jika beli kelengkapan solat cantik dan mahal” - Gemar hadiahkan telekung inspirasi Prof Dr Muhaya hasilkan jenama sendiri

Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad memberitahu keputusan membuka Muhayya Magical disebabkan minatnya terhadap telekung.

SIAPA sangka dalam kepetahan Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad memberi kata-kata motivasi yang membina, sebenarnya figura ini juga mempunyai bakat besar dalam dunia fesyen!

Minatnya terhadap telekung yang cantik dan pelbagai warna telah memberi idea untuk tampil dengan koleksinya sendiri dibawah jenama Muhayya Magical.

Bagaimanapun kata Dr Muhaya, pembukaan butik yang terletak di Kajang, Selangor itu sebenarnya bertitik tolak daripada kegemarannya menghadiahkan telekung kepada orang lain selain mahu melihat wanita muslimah berpakaian patuh syariah.

ARTIKEL BERKAITAN: Terperangkap di Tanzania akibat pandemik dan pergolakan politik, Cikgu Anita tetap bersemangat teruskan impian kembara 70 negara, dah berjaya hasilkan 4 buku!

Sejak remaja kata Dr Muhaya, beliau gemar menghadiahkan telekung kepada keluarga, kenalan dan jiran tetangga sebagai hadiah setiap kali berkesempatan bertemu.



Dr Muhaya cukup gemar dengan telekung dengan rekaan ringkas tetapi elegan.

Katanya, beliau gemar menghadiahkan telekung kerana ia adalah sedekah jariah yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penerimanya malah pahala untuk dirinya sendiri.

"Sejak remaja saya memang gemar menghadiahkan telekung kepada sesiapa yang saya temui dan saya suka beri hadiah telekung kerana orang akan pakai lima kali sehari ketika sembahyang.

"Kalau hadiahkan benda lain, ia mungkin tidak mendatangkan manfaat, kalau seseorang itu pakai saya pun dapat pahala.

"Konsep 'tamak' pahala itu yang saya pegang sejak dahulu dan jika hendak lakukan sesuatu perlu ada impaknya," katanya kepada mStar.

Dapat ilham sebelum solat Zohor

Tidak tergesa-gesa tampil dengan jenamanya sendiri, Dr Muhaya memberitahu, beliau melakukan pelbagai pemerhatian dan kajian sebelum mengeluarkan jenamanya sendiri pada 2017.

Kebiasaannya kita akan solat di rumah, apa salahnya memakai telekung yang cantik dan mahal ketika menghadap-Nya? Bukan ada sesiapa yang nampak, jadi tidak timbul soal riyak atau takabur.

DATUK PROFESOR DR MUHAYA MOHAMAD



PENGARAH URUSAN MUHAYYA MAGICAL

Ini termasuklah pemilihan fabrik, keselesaan termasuk ingin memastikan ia mampu menjaga aurat seorang wanita dengan sempurna.

"Sebelum ini ada sesetengah telekung yang saya pakai tidak selesa, selain rasa panas dan kainnya melekat pada tubuh ketika solat.

"Sebab itu saya buat kajian betul-betul sehinggalah suatu hari ketika hendak solat Zohor, tiba-tiba Allah memberikan ilham untuk koleksi saya.

"Selepas lima kali telekung prototaip dihasilkan dan saya pakai sendiri untuk memastikan ia selesa barulah saya tampil dengan jenama Muhayya Magical yang mementingkan kecantikan, selesa dan elegan," katanya.



Antara koleksi telekung Majestic yang didatangkan dengan pelbagai pilihan warna.

'Ready' solat

Muhayya Magical menampilkan dua koleksi telekung iaitu Telekung Majestic yang direka khas tanpa tali tetapi mudah disarungkan selain mewah dan menawan.

Rekaan dengan potongan tulip, bahagian belakang (fishtail) yang labuh dengan logo 'M' eksklusif bertakhtakan kristal Swarovski turut menyerlahkan kemewahan telekung tersebut.

Menariknya bahagian kepala telekung menggunakan fabrik jenis moss crepe manakala bahagian badan dan kain daripada premium satin.

Selain itu, koleksi Telekung Organdy turut menjadi pilihan pelanggan yang menggabungkan fabrik Korean Lycra pada bahagian kepala dan premium grade Japanes cotton (badan).



Butik Muhayya Magical terletak di Kajang, Selangor.

Tidak hanya memfokuskan kepada telekung, Muhayya Magical juga mempunyai pelbagai koleksi lain termasuk ready to wear dan paling mendapat perhatian adalah Khimar yang direka khas dengan konsep 'ready solat'.

Gabungan material yang sejuk dan ringan serta labuh di bahagian belakang bertepatan dengan konsep patuh syariah namun masih memberi kesan flowy pada bawah khimar dan sesuai digayakan dalam apa juga majlis.

Selain itu, Dr Muhaya turut tampil dengan pelbagai koleksi shawl, hijab serta pelbagai pakaian yang patuh syariah.

Jangan lokek berbelanja kelengkapan solat

Sementara itu, Dr Muhaya memberitahu keputusannya tampil dengan Muhayya Magical kerana ingin mendorong wanita Islam tampil dalam persalinan patuh syariah dan sentiasa bersedia untuk bersolat.



Dr Muhaya sangat teliti dengan setiap rekaan telekung.

Jelasnya, beliau berasa sedih apabila melihat masih ramai yang mengenakan pakaian tidak patuh syariah selain tidak mengambil berat terhadap pakaian ketika menghadap Allah.

"Pada saya kita ada tiga kehidupan iaitu kehidupan rahsia dengan Allah, kehidupan keluarga dan kehidupan bersama komuniti.

"Bayangkan kehidupan kita dengan Allah yang punca segala-galanya pun tidak betul, maka kehidupan yang lain pun akan tersasar.

"Ia sepatutnya bermula dengan adab dan pakaian kita ketika bertemu-Nya dan patut paling mahal adalah telekung kerana kita jumpa Allah lima kali sehari," katanya.



Pelbagai pilihan tudung dan shawl yang terdapat di Muhayya Magical.

Dr Muhaya juga menasihatkan agar tidak lokek berbelanja kelengkapan solat kerana dalam soal itu ada perbelanjaan yang akan disoal dan sebaliknya ketika akhirat.

Malah katanya, tidak timbul soal riyak sekiranya membeli telekung yang mencecah ratusan ringgit dengan rekaan menarik kerana ia dilakukan kerana Allah.

"Kebiasaannya kita akan solat di rumah, apa salahnya memakai telekung yang cantik dan mahal ketika menghadap-Nya? Bukan ada sesiapa yang nampak, jadi tidak timbul soal riyak atau takabur.

"Fokus kepada perbelanjaan yang Allah reda, yang Allah tidak akan soal di akhirat... Apa sahaja yang dibelanjakan kerana Allah tidak akan disoal," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain