suria

Kusut, bercabang, gugur... Gaya rambut boleh jadi puncanya!

Rambut rosak adalah masalah terbesar wanita.

MEMILIKI rambut yang cantik dan mudah untuk diuruskan sudah tentu menjadi idaman setiap wanita.

Namun tiada jalan pintas untuk memperoleh apa yang diinginkan tanpa berusaha menjaga dan merapikannya dengan baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah kusam dan tak bermaya? Cuba 5 langkah penjagaan kulit ini

Pada masa sama, wanita sering kali berdepan masalah rambut rosak dan buntu mencari apakah puncanya.

Berikut adalah beberapa pengayaan rambut yang dipercayai boleh menyebabkan masalah rambut rosak.

1. Gaya ekor kuda

Antara gaya rambut yang paling minimal dan menjadi kesukaan ramai adalah mengikatnya seperti ekor kuda. Gaya ini akan menimbulkan masalah jika anda sering kali mengikatnya dengan ketat dan juga pada tempat yang sama.

Hal ini akan menyebabkan rambut anda berpotensi untuk gugur, putus dan kusut.

2. Gaya jalinan ketat

Kedua, gaya jalinan atau lebih dikenali sebagai dendan ini sangat tidak baik untuk kesihatan rambut.

Bukan itu sahaja, jika sering dilakukan dengan ketat rambut ia juga boleh memberi kesan buruk kepada penampilan rambut. Rambut akan kelihatan beralun atau berombak.

Selain daripada itu, anda juga berpotensi mempunyai masalah kulit kepala sehinggakan lebih teruk membuatkan anda rasa sakit kepala.

3. Gaya sanggul

Seterusnya, gaya yang mudah dan kemas ini juga ternyata disukai ramai. Tetapi tahukah anda kesan buruk daripada pengayaan seperti ini.

Gaya sanggul ini sememangnya memberi tekanan kepada rambut kerana diikat sangat kuat dan keadaannya yang menggulung.

Hal ini akan membuatkan rambut anda sukar bernafas dan mengalami keguguran.

4. Gaya sambungan rambut

Teknik ‘hair extension’ atau penyambungan rambut merupakan salah satu sebab utama seseorang mengalami rambut rosak.

Lebih teruk lagi, apabila proses ini dilakukan bukan daripada golongan professional.

Kesan daripada pengayaan rambut seperti ini seseorang akan berpotensi untuk mengalami botak kecil pada kulit kepala dan rambut mudah putus.

5. Rambut basah

Punca utama kerosakan rambut adalah apabila seseorang itu mengayakannya ketika rambut masih dalam keadaan basah.

Ketika basah, rambut anda sememangnya berada dalam keadaan lemah. Ia akan mudah kusut dan putus.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain