suria

My Gaya lepasi sasaran, jana lebih RM400,000 dalam sebulan... terbukti Kempen Beli Barangan Malaysia 2021 buka laluan industri fesyen negara

Dua pereka fesyen Mark Westwood dan Caroline Wass daripada jenama Carro turut diberi penghargaan sebagai Pereka Fesyen Terbaik.

SEJAK dilancarkan pada 18 Oktober lalu, program 'My Gaya Month' (My Gaya) yang menghimpunkan 30 pereka fesyen tempatan menepati sasarannya dalam membantu memulihkan ekonomi pemain industri pereka fesyen dan industri terkesan akibat pandemik melalui Kempen Beli Barangan Malaysia 2021 (KBBM).

Presiden Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA), Rasta Rashid berkata, dalam tempoh sebulan penganjuran program itu, jualan produk mencatatkan sebanyak RM402,121 berbanding sasaran asal RM250,000.

ARTIKEL BERKAITAN: KBBM kembali lagi dengan tawaran harga istimewa produk tempatan! Jom ‘shopping’ sambil pulih ekonomi negara pasca Covid-19

"Pencapaian sangat membanggakan meskipun pada awalnya kami berasa gementar juga untuk mencapai angka sasaran apatah lagi dalam suasana negara masih dalam pandemik.

"Tetapi Alhamdulillah 30 pereka fesyen di bawah MBDA membuktikan sebaliknya malah melepasi angka sasaran dengan jualan melebihi RM400,000," katanya kepada mStar.

Rasta ditemui pada majlis Finale My Gaya Month yang diadakan di Dewan Serbaguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya pada Jumaat.

file7ih2yqdwrnm9pgpro7b

Hasnol (tengah) berbual dengan Mark dan Caroline sambil diperhatikan oleh Bon Zainal (kiri) dan Rasta Rashid (kanan).

Acara itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengasas MBDA, Bon Zainal.

Program My Gaya Month MBDA hasil kerjasama kementerian itu bersempena KBBM 2021 yang menggariskan objektif untuk menyatukan pelbagai jenama fesyen bagi menaik taraf pasaran tempatan dan global.

Inisiatif itu secara tidak langsung dapat merangsang ekonomi negara melalui KBBM, selain menaikkan semangat pereka fesyen supaya terus berkarya bagi merancakkan lagi industri itu dalam kalangan pengguna tempatan.

Dalam pada itu, Rasta berkata, MBDA melihat kolaborasi kali pertama itu sebagai satu kejayaan dalam melonjakkan lagi KBBM, sekaligus membantu pereka-pereka fesyen dan pemain industri tempatan kembali bernafas dalam tempoh pandemik.

Malah kata Rasta, ia juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menyokong barangan buatan tempatan.

file7ih2z3kiv1es4t66o7c

My Gaya Month edisi pertama disertai 30 pereka fesyen di bawah Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) bergambar dengan Hasnol (depan, empat dari kiri).

"Apabila dua jambatan ini digabungkan menjadi satu, ia dapat membantu membina ekosistem yang baik buat industri kerana semua tahu sepanjang pandemik hampir dua tahun ini banyak sektor terjejas.

"Dengan adanya program seumpama ini, ia bukan sahaja merancakkan kembali sektor perniagaan tetapi membuka pelbagai peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak.

"Jadi kami melihat program ini dan KBBM adalah landasan yang cukup baik dan berharap dapat diteruskan pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Hasnol berkata, pihak kementerian berharap inisiatif sebegini dapat diperbanyakkan di masa hadapan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pereka-pereka malah mendapat sambutan menggalakkan daripada penggiat seni dan pengusaha lain.

Selain itu, pihak peruncit tempatan seperti Metro Jaya, Al Ikhsan dan juga penyedia platform dalam talian seperti Fashion Hub MBDA, Vettons, Aladdin1, Shopee, Lazada dan Zalora telah bersetuju untuk bekerjasama membantu menjayakan inisiatif KBBM.

file7ih2yrdsiw91egazco7c

Antara paparan video koleksi dan rekaan peserta My Gaya Month yang disiarkan.

"Insiatif ini juga telah membuka mata dan ruang kepada syarikat dan agensi seperti Google Malaysia untuk berkolaborasi dan memberi sokongan membantu menaik taraf penjenamaan Barangan Malaysia.

"Inilah yang dikatakan ‘push factor’ ekosistem strategik yang dibina di bawah payung MBDA. Alhamdullilah, saya dimaklumkan bahawa MBDA akan terus mengetengahkan Kempen Beli Barangan Malaysia sebagai satu kerjasama yang berterusan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai jenama kukuh di tanah air dan di persada antarabangsa," katanya.

Dalam perkembangan sama, pada majlis finale My Gaya Month itu turut dipertontonkan tayangan video rekaan dan koleksi kesemua 30 pereka fesyen di bawah MBDA.

Dua pereka fesyen Mark Westwood dan Caroline Wass daripada jenama Carro turut diberi penghargaan sebagai Pereka Fesyen Terbaik.

Carro menampilkan pelbagai rangkaian fesyen pakaian sukan dan aktiviti lasak, golf polos dan busana korporat.

file7ih2z3o2xyeburv7o7b

Orang kuat MBDA... Bon Zainal (kiri) dan Rasta Rashid antara penggerak program My Gaya Month.

Mark ketika mengulas penghargaan itu memberitahu ia sedikit sebanyak menaikkan lagi semangatnya untuk terus menghasilkan pelbagai rekaan menarik pada masa hadapan.

Malah beliau menyifatkan program My Gaya telah membuka banyak peluang untuk jenamanya berkembang dalam situasi sukar ketika ini.

"Pandemik banyak mengajar kita tentang erti berusaha dan tidak putus asa... harus diakui tidak mudah melalui tempoh itu namun dengan pelbagai program dan kempen seperti My Gaya dan sokongan KPDNHEP sendiri, ia membuatkan kami bertambah bersemangat," katanya.

Antara jenama lain yang turut terlibat dalam program itu termasuklah Kal Anesh by Kalai, Houda Hijab Malaysia, Dimu by Munir, Ash Majid, Pua Indah, Ramond Zack, Bujins Batik, Jeiwa dan Rebel.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain