suria

Benarkah mewarnakan rambut berisiko terkena kanser payudara? Ini penjelasan pakar

Pewarna rambut mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan termasuklah kanser payudara.

TERDAPAT pelbagai sebab seseorang individu membuat keputusan untuk mewarnakan rambut mereka.

Sama ada ingin mengubah penampilan supaya kelihatan lebih menarik, untuk menutup uban atau mengikut trend masa kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan buang kulit bawang! Ada banyak manfaat jika diguna semula

Tidak kira apa pun sebabnya, mewarna rambut sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya meningkatkan risiko kanser payudara pada wanita.

Pewarna rambut mengandungi lebih daripada 5,000 bahan kimia.

Daripada bahan kimia tersebut, ia termasuk beberapa karsinogen yang diketahui menyebabkan kanser.

Contohnya, amina aromatik, 3-amino-4-methoxyaniline, 2-nitro-4-aminoaniline, dan 3-nitro-4-hydroxyaniline.

Bahan kimia ini boleh mengganggu tindakan dan tahap hormon dalam badan yang menyebabkan risiko kanser.

Pakar kanser Chirag Shah menerangkan bagaimana hubungan antara pewarna rambut dan risikonya untuk kanser payudara:

kaler rambut 1

Pewarna rambut dan risiko kanser payudara

Selama bertahun-tahun, terdapat data bercampur-campur tentang hubungan antara pewarna rambut dan risikonya untuk kanser.

Menurut kajian Institut Kesihatan Nasional 2019, ia melihat risiko ini terhadap lebih 45,000 wanita.

Dipanggil Sister Study, kajian ini mengkaji hubungan antara kanser payudara dan penggunaan pewarna dan pelurus rambut.

Daripada kajian itu, para penyelidik mendapati individu menggunakan pewarna rambut kekal secara kerap mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara berbanding mereka yang tidak.

Walau bagaimanapun, tiada kesan yang ketara berdasarkan kekerapan penggunaan yang dapat dilihat.

Terdapat peningkatan risiko sebanyak 45 peratus pada wanita kulit gelap berbanding dengan peningkatan risiko sebanyak 7 peratus pada wanita kulit cerah.

"Sesetengah kajian telah menunjukkan bahawa pewarna rambut separuh kekal boleh menjejaskan risiko kanser payudara juga," kata Dr Shah.

"Menariknya, Sister Study mendapati mereka yang menggunakan pewarna separa kekal sendiri - tanpa bantuan pendandan rambut profesional - mempunyai kaitan dengan risiko kanser payudara," katanya.

Perkaitan paling banyak dikaji daripada kajian ini adalah antara kanser pundi kencing dan pewarna rambut.

Orang yang menggunakan pewarna rambut secara kerap sebagai sebahagian daripada pekerjaan mereka berisiko tinggi mendapat kanser pundi kencing.

"Kita terdedah kepada banyak perkara dalam persekitaran kita yang merupakan faktor risiko berpotensi untuk kanser payudara.

Pewarna rambut hanyalah salah satu daripadanya," kata Dr Shah.

Dia turut mendedahkan, perkara paling penting ialah melihat semua faktor risiko dan membuat keputusan berdasarkannya.

kaler rambut 2

Pelurus rambut kimia dan risiko kanser payudara

Bukan sahaja pewarna rambut, beberapa pelurus berasaskan kimia juga mengandungi formaldehid yang dikenali sebagai karsinogen.

Kajian itu melihat pelurus rambut dan mendapati beberapa peningkatan risiko kanser payudara yang berkaitan dengannya.

Penggunaan pelurus dalam tempoh 12 bulan sebelum pendaftaran dalam kajian dikaitkan dengan risiko kanser payudara 18 peratus lebih tinggi, dan penggunaan lebih kerap dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, mereka yang menggunakan pelurus rambut setiap 5-8 minggu mempunyai risiko kanser payudara 31 peratus lebih tinggi.

"Jadi, jika mempunyai sebarang kebimbangan tentang risiko kanser payudara dari segi penggunaan pewarna rambut atau pelurus rambut, berbincang dengan doktor anda atau pakar kanser payudara," kata Dr Shah.

"Kerana mereka pasti boleh membimbing melalui faktor risiko dan membantu kita mengetahui apa yang terbaik untuk kesihatan kita."

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain