BUKAN sekadar aset berharga kaum wanita, malah rambut juga merupakan 'mahkota' bagi lelaki. Bahkan, ia juga menjadi salah satu elemen penting dalam penataan imej mereka. Mungkin imej botak 'kena' bagi sesetengah individu, namun kepala 'gondol' juga disebabkan masalah keguguran rambut yang boleh menjejaskan keyakinan diri. Keguguran rambut boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya genetik dan kekurangan nutrisi. Terdapat pelbagai cara untuk merawat masalah keguguran rambut, namun sudah tentu kaedah paling popular ketika ini adalah hair transplant atau rawatan tanam rambut. Pakar perunding dermatologi dan pakar bedah pemindahan rambut, Dr Amrendra Kumar berkata, pemindahan rambut mempunyai risiko kegagalan yang sangat rendah dan boleh dikatakan tiada kesan sampingan apabila dilakukan oleh pakar terlatih. "Teknik ini boleh membantu anda mendapatkan semula keyakinan dengan memulihkan penampilan anda," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Anda alami masalah rambut gugur? Ketahui 5 cara mudah atasinya, guna bahan di dapur sahaja Beliau turut berkongsi enam perkara penting yang perlu diketahui sebelum membuat keputusan untuk meneruskan rawatan: 1. Prosedur pembedahan Ia adalah prosedur pembedahan yang melibatkan penyingkiran semua folikel dan akar dari satu bahagian kepala anda dan memindahkannya ke kawasan botak. Prosedur ini tidak invasif dan hanya mengambil masa beberapa jam untuk diselesaikan. Kaedah ini juga boleh digunakan pada bahagian lain badan, seperti kening, bulu mata, dan juga kawasan kemaluan. Masalah keguguran rambut boleh menyebabkan hilang keyakinan diri. Gambar hiasan 2. Ada perbezaan antara rambut yang ditanam dengan rambut semula jadi? Sebaik sahaja rambut anda yang ditanam mulai tumbuh, anda boleh merawatnya seperti rambut biasa. Rambut yang ditanam adalah sama seperti rambut semula jadi. Anda boleh menggayakannya mengikut kehendak sendiri. Rambut yang ditanam tidak memerlukan penjagaan khas; ia boleh dibasuh dan dirawat dengan cara yang sama seperti rambut semula jadi. 3. Bukan prosedur ajaib Sebelum menjalani pembedahan menanam rambut, adalah penting untuk memahami bahawa pertumbuhan semula rambut adalah berbeza bagi setiap individu. Hasilnya ditentukan oleh jumlah rambut di 'kawasan penderma' anda. Pembedahan menanam rambut tidak menjamin anda akan mempunyai rambut yang lebat. 4. Adakah rambut yang ditanam kekal? Rambut yang telah ditanam akan terus tumbuh untuk jangka masa yang sangat lama, mungkin seumur hidup. Selepas prosedur tanam rambut, ia tidak akan menipis atau gugur. 5. Penjagaan selepas tanam rambut Jawapan yang jelas ialah mengambil antibiotik dan ubat anti-radang sebagaimana yang disyorkan oleh doktor. Untuk tiga minggu selepas prosedur, anda harus mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari, senaman yang ketat, dan berenang. Anda juga harus mengelakkan penggunaan sebarang produk kimia, seperti gel atau rawatan kimia lain untuk sekurang-kurangnya satu bulan. 6. Ubat Adalah penting untuk memahami bahawa penanaman rambut dilakukan untuk menutup tompokan botak. Keguguran rambut mungkin masih berlaku di kawasan yang tidak ditanam. Justeru, usaha dan rawatan mesti dilakukan untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan rambut. - Indianexpress.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI