MALAYSIA sememangnya kaya dengan seni dan budaya. Salah satu warisan yang menjadi kebanggaan Malaysia adalah hasil seni kraftangan. Jangan tak tahu, hasil kraftangan Malaysia sering kali menjadi pujian warga asing kerana kehalusan dan keunikannya. Salt Bae teruja menggayakan jaket songket. Sebagai contoh, cef selebriti terkenal dari Turki, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, juga teruja apabila mengenakan jaket daripada fabrik kain songket rekaan pereka fesyen dari Malaysia, Peony Sin. ARTIKEL BERKAITAN: Salt Bae gayakan jaket songket pereka Malaysia Sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kraftangan ini terpelihara, malah dikenali di persada antarabangsa. Berikut adalah lima kraftangan yang menjadi kebanggaan Malaysia: 1) Batik Dihasilkan dengan menggunakan proses menerap lilin dan mencelup kain. Ia merupakan salah satu seni tekstil tertua di dunia. Buktinya, ia ditemui lebih 2,000 tahun yang lalu. Di Malaysia, 'lubuk' penghasilan batik di Pantai Timur. Ketika ini, batik Malaysia dihasilkan dengan berkualiti tinggi di mana salah satu faktornya ia dikomersialkan oleh jenama terkemuka. Salah satunya ialah Better Than Blouses, pengedar batik generasi baharu yang menawarkan cetakan batik yang lebih segar dan menarik, sesuai dengan masyarakat moden. Hubungi: betterthanblouses.com 2) Songket Merupakan tekstil yang sangat tinggi nilainya di Malaysia terutamanya dalam kalangan orang Melayu. Secara tradisinya, ia ditenun dengan tangan menggunakan fabrik sutera atau kapas, mempunyai corak rumit yang menggunakan benang emas atau perak. Lazimnya, ia dibusanakan dalam adat-adat perkahwinan Melayu di Asia Tenggara. Tidak boleh dinafikan, keseluruhan proses menghasilkan songket memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi. Jika anda ingin mendapatkan karya agung tekstil ini, bolehlah berkunjung ke Pasar Payang di Kuala Terengganu. Hubungi: Facebook Pasar Payang Terengganu (@PasarPayangTerengganu) 3) Tekat Tekat adalah seni tradisional sulaman benang emas dan perak. Di Malaysia, ia bermula pada abad ke-15 apabila pedagang Timur Tengah memperkenalkannya kepada masyarakat tempatan. Keanggunannya yang rumit secara semula jadi menarik perhatian ramai, termasuk kerabat diraja dan golongan bangsawan. Baldu sering menjadi pilihan fabrik untuk menghasilkan tekat kerana penampilannya yang mewah. Jika anda melancong ke Kuala Kangsar, Perak, luangkan masa untuk melawat beberapa perusahaan tekat seperti Mardziah Abu Kassim. Hubungi: Mardziah Abu Kassim (019-214 1866) 4) Keringkam Sama seperti tekat, keringkam merupakan kraf sulaman tradisional dari Sarawak. Sulaman keringkam menggunakan keringkam atau kepingan logam emas atau perak nipis yang dijadikan benang. Ia disulam ke atas kain untuk membuat selayah atau selendang bagi menutup kepala wanita. Menariknya, selendang yang dihiasi dengan keringkam bukan sekadar aksesori fesyen tetapi dilihat sebagai simbol penting dalam adat resam Melayu Sarawak. Paling ketara ialah dalam perkahwinan apabila satu amalan dipanggil 'tikar ngambik pengantin' yang merujuk kepada adat menghantar tikar mengkuang. Ia bukanlah tikar mengkuang biasa, sebaliknya tikar itu yang dibalut dengan tudung atau selendang keringkam disulam benang emas untuk dihantar ke rumah pengantin lelaki oleh keluarga pengantin perempuan menandakan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan. Anda boleh mendapatkan busana eksklusif ini di Galeri Songket dan Keringkam di Kuching, Sarawak. Hubungi: Galeri Songket dan Keringkam 5) Sulaman manik Nyonya Sulaman manik memainkan peranan penting dalam budaya Cina Peranakan. Pada masa lalu, setiap Nyonya perlu belajar menyulam manik pada usia muda. Manik biasanya disulam pada kasut dan menggunakan manik berwarna-warni yang diimport dari Jepun dan juga Eropah. Setiap kasut disarung pada majlis yang berbeza mengikut warna manik mereka. Tak tahu nak cari di mana? Kunjungi Lebuh Armenia di Georgetown, atau di sepanjang Jalan Tokong, Melaka di mana anda akan temui pembuat sulaman manik yang mewarisi kepakaran sejak beberapa generasi lampau. Hubungi: T. S. Lim Trading Melaka (016-618 6989) - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI