suria

Wanita berlumba nak gemuk demi capai standard kecantikan! Definisi cantik di 5 negara ini sangat unik

Definisi kecantikan wanita di Mauritania dinilai berdasarkan saiz badan yang gempal.

SESEORANG wanita dikatakan mencapai piawaian atau standard kecantikan (beauty standard) apabila berwajah jelita, mempunyai kulit yang mulus, kurus, tinggi dan beberapa kriteria lain.

Lihatlah model-model yang menghiasi pentas peragaan dan majalah, kesemuanya menepati kriteria 'cantik' biarpun berbeza warna kulit serta datang dari pelbagai negara.

Namun begitu, ternyata standard kecantikan di setiap negara berbeza-beza mengikut adat masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan kaki ayam buat kulit cantik, betul ke?

Wanita dari pelbagai negara di dunia punyai ciri khas kecantikan tersendiri, sekali gus membuktikan definisi cantik tidak sekadar dinilai daripada kemulusan kulit, hidung yang mancung, gigi yang tersusun rapi dan sebagainya.

Kali ini, mStar kongsikan 'beauty standard' dari lima negara yang tampil dengan definisi kecantikan serta keunikan tersendiri, sebagaimana perkongsian di laman Brightside.

1) Gigi taring di Jepun

cantik 3

Bagi gadis atau wanita Jepun, memiliki gigi taring adalah satu kelebihan. Ramai yang beranggapan gigi taring membuatkan senyuman menawan dan nampak lebih cantik.

Trend ini dinamakan Yaeba, yang dipercayai dapat membuatkan wanita kelihatan lebih muda dengan senyuman seakan barisan gigi kanak-kanak. Malah wanita Jepun sanggup ke klinik pergigian untuk membuat gigi taring mereka menonjol apabila tersenyum.

2) Kening bersambung di Tajikistan

cantik 4

Di kala ramai wanita mencabut atau mencukur kening agar alisnya lebih tersusun, berbeza pula dengan wanita di Tajikistan.

Bagi wanita di negara ini, kecantikan mereka tidak terletak pada kening yang dibentuk nipis, sebaliknya pada alis yang unik, lebat dan bersambung!

Gadis-gadis yang tidak dianugerahkan dengan kening lebat menggunakan herba yang dipanggil 'usma' untuk melebatkan kening. Malah ibu bapa akan melumur herba tersebut pada kening ketika anak perempuan mereka masih kecil. Unik sangat!

3) Leher panjang di Thailand

cantik 2

Wanita dari suku Kayan di utara Thailand terkenal dengan keunikan mereka kerana memakai gelung tembaga pada leher untuk kelihatan panjang. Mereka percaya bahawa amalan tersebut melindungi wanita daripada perhambaan.

Walau bagaimanapun, sesetengah daripada mereka percaya leher panjang menyerupai naga, yang merupakan watak penting dalam cerita rakyat tempatan.

Kanak-kanak perempuan mula memakai gegelung tembaga apabila mereka berumur lima tahun. Gegelung akan semakin bertambah seiring dengan peningkatan usia.

4) Piring bibir di Ethiopia

cantik 5

Wanita suku Mursi berasa dirinya cantik jika memiliki bibir bawah yang lebar. Suku ini mendiami lembah di Sungai Omo, tepatnya sekitar 450 kilometer dari ibu kota Ethiopia, Addis Ababa.

Piring dengan diameter antara 10 sentimeter hingga 25 sentimeter itu digantung pada bahagian bawah bibir agar kelihatan lebih luas.

Tradisi ini dilakukan apabila anak gadis berusia sekitar 15 tahun dan saiz piring berganti seiring meningkatnya usia mereka.

Semakin besar piring, menandakan wanita yang menggunakannya semakin dewasa dan bersedia untuk menikah. Ia juga bererti semakin besar mahar yang harus disediakan oleh lelaki untuk mengahwini wanita berkenaan.

5) Gemukkan badan di Mauritania

cantik 1

Sejak kecil, kanak-kanak perempuan di Mauritania akan melalui proses 'penggemukan' kerana bagi masyarakat di sana, wanita gemuk lebih cantik dan senang mendapat jodoh.

Mereka terus-menerus diberi karbohidrat dan lemak, sehingga mengalami obesiti. Apabila mencapai usia yang sudah layak untuk berkahwin, mereka akan dipaksa makan sehingga 15,000 kalori setiap hari. Tradisi ini dikenali sebagai Leblouh iaitu penggemukan secara paksa demi kecantikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain