RAMAI yang sanggup berhabis ratusan ringgit demi mendapatkan kuku yang sihat dan cantik. Namun tahukah anda, bahan semulajadi yang terdapat di dapur adalah paling berkesan untuk merawat masalah kuku termasuk cekam. Bukan sahaja menjimatkan, tubuh anda juga bebas daripada penggunaan bahan kimia yang membahayakan kesihatan. Ini lima cara yang boleh anda lakukan seperti perkongsian Petua Ibu. 1. Limau nipis atau lemon Tidak perlu mengeluarkan belanja besar, cukup sekadar menggunakan limau nipis atau lemon sebagai ramuan utama rawatan. Belah limau nipis atau lemon kepada dua bahagian, kemudian gosokkan pada kuku dan jari jemari. Biarkan selama dua hingga tiga minit, dan bilas dengan air suam. Lakukan dua kali seminggu, kuku dan jari nampak bersih dan cantik. 2. Minyak zaitun atau kelapa dara Kuku pecah dan kulit jari kasar membuatkan kebanyakan wanita rasa kurang keyakinan diri sehingga ada yang memakai sarung tangan setiap masa. Jika anda mengalaminya, oleskan minyak zaitun atau kelapa dara pada kulit setiap malam sebelum tidur. Buat juga urutan pada tangan dan kuku secara perlahan-lahan, ia juga membantu melancarkan perjalanan darah. 3. Bawang putih Anda yang mempunyai kuku mudah patah, boleh mengamalkan petua ini. Tumbuk bawang putih sehingga lumat dan gosokkan pada kuku. Lakukan setiap hari dan lihat hasilnya, kuku bukan sahaja menjadi lebih kuat malah berkilat. 4. Belimbing buluh Kuku kusam, kering dan berwarna kebiruan sering dipandang kotor seolah-olah tidak dibersihkan dengan baik. Bagi menjadikannya kembali bersinar, gosok kuku dengan belimbing buluh dua kali seminggu. Selepas itu, rendamkan jari seketika di dalam air yang dicampurkan garam bukit. Kuku akan beransur sihat dan cantik dalam masa yang singkat. 5. Daun kangkung Sesetengah individu mempunyai kuku yang seolah-olah berkerak kesan daripada kutikel yang menebal. Lebih 'mencacatkan' penampilan apabila terkena dakwat pen, minyak hitam mahupun kunyit. Bagi membersihkannya, ambil daun kangkung yang ditumbuk lumat dan gosokkan pada kuku. Biarkan sehingga 10 hingga 15 minit sebelum bilas dengan air bersih. Kuku anda akan kembali bersih dan putih, malah kesan kutikel pun hilang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube