suria

Tak ‘cukup inci’, pakai apa pun serba tak kena? Jangan risau, ini tip fesyen untuk wanita rendah agar nampak tinggi

Pakaian yang tepat boleh membuatkan seseorang itu kelihatan lebih menyerlah. -Gambar hiasan

KEYAKINAN diri bermula daripada penampilan yang kemas dan segak.

Namun, ia tidaklah semudah yang disangka, terutamanya bagi kaum hawa yang selalu berasakan diri mereka kekurangan dalam seribu satu aspek.

Antara perkara yang sering menggugat keyakinan seorang wanita adalah daripada segi ketinggian kerana keadaan tubuh yang rendah membuatkan diri berasa kerdil ketika bersosial di khalayak ramai.

Jangan risau, setiap permasalahan pasti mempunyai solusinya.

Melalui perkongsian Noor Arfa, didedahkan beberapa petua berpakaian bagi membantu anda berasa lebih tinggi dan yakin.

Tidak renyah dan cukup mudah untuk diamalkan, ayuh kita teliti satu-persatu.

Skirt yang sesuai untuk wanita rendah. -Gambar hiasan

1) Seluar dan skirt

Pilih seluar dan skirt yang berpinggang tinggi agar dapat memberikan ilusi kaki yang panjang.

Pastikan panjang seluar atau skirt yang dipakai melebihi paras buku lali. Elakkan juga memakai seluar atau skirt paras betis kerana ia membuatkan anda kelihatan lebih pendek.

2) Baju

Elakkan daripada memakai pakaian yang mempunyai potongan terlalu longgar dan besar. Ia akan membuatkan tubuh anda tenggelam sekali gus menjadikan kaki anda tampak lebih pendek.

Adalah lebih baik jika anda memasukkan baju ke dalam skirt (tuck in) kerana ia akan menyerlahkan bahagian pinggang serta memanjangkan kaki anda. Secara amnya, ia akan membuatkan bentuk badan anda kelihatan lebih langsing.

3) Jaket atau kardigan

Elakkan daripada membutang jaket atau kardigan yang dipakai, ini untuk mencipta ilusi garisan menegak yang langsing.

Anda dinasihatkan untuk memakai jaket yang lebih kecil dan panjangnya tidak melebihi pinggang anda, kerana jaket atau kardigan yang labuh akan membuatkan anda kelihatan lebih pendek.

Cetakan corak kecil (kiri) dan cetakan corak besar (kanan).

4) Cetakan corak pada baju yang minimalis

Pilih pakaian dengan cetakan ringkas dan kecil untuk gaya yang seimbang. Memakai pakaian yang sarat dengan cetakan besar akan membuatkan anda tampak pendek.

5) Tali pinggang

Elakkan memakai tali pinggang yang lebar dan besar. Pakai tali pinggang yang bersaiz halus dan kecil untuk memberi visual yang menarik dan langsing.

6) Tas tangan

Pastikan anda memadankan tas tangan bersaiz kecil atau sederhana.

Ini kerana tas tangan bersaiz besar akan menampakkan anda lebih pendek. Justeru, pilih tas tangan yang sesuai dengan saiz tubuh anda.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat. - Noor Arfa

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain