MENJELANG Ramadan bermaksud persiapan untuk menyambut Aidilfitri juga perlu dimulakan.
Antara persediaan menjelang hari lebaran yang 'wajib' dibuat sudah tentunya baju raya.
Pada masa sekarang, ramai yang membuat tempahan baju raya secara dalam talian, mudah tidak perlu bersesak-sesak dan pilihan corak serta rekaan juga lebih banyak.
Namun antara isu yang dihadapi ketika membeli baju raya secara online adalah saiz yang tidak kena dengan badan khususnya bagi kaum Hawa, mungkin cara mengukur yang tidak tepat.
Jangan risau, melalui perkongsian seorang tukang jahit dikenali sebagai Ida Ismail di laman Facebook, didedahkan cara mudah untuk mengambil ukuran badan agar baju raya anda lebih ngam!
Perkongsian oleh Ida Ismail.
Cara mengambil ukuran badan:
1) Bahu
Diukur di bahagian belakang daripada tulang bahu kanan ke tulang bahu kiri. Lalukan sedikit di atas pangkal leher.
2) Dada
Ukur keliling dada dari belakang melalui mercu dada.
3) Pinggang baju
Ukuran pinggang untuk baju sahaja iaitu keliling pinggang yang paling ramping.
4) Pinggang kain
Ada yang sama, ada yang tidak dengan pinggang baju. Bagi yang memakai ‘low waist’ ukur di bahagian tersebut.
5) Punggung
Ukuran dari puncak punggung yang paling menonjol sehingga ke perut. Bagi yang perut agak buncit atau mengandung, ukur dari belakang punggung hingga perut yang paling tinggi. Jika tidak nanti kain akan sendat di bahagian perut.
6) Labuh lengan
Bengkokkan sedikit tangan dan ukur dari tulang bahu ke labuh lengan yang dikehendaki. Tangan dibengkokkan untuk memberi labuh yang sebenar.
7) Leher
Ukur dari belakang leher sehingga ke tulang leher hadapan.
8) Labuh baju
Sebaik-baiknya ukur dari hadapan melalui dada dan ke labuh yang dikehendaki. Ukuran melalui dada supaya baju tidak terjongket.
9) Labuh kain
Ukur dari pinggang kain terus ke lantai atau bawah tapak kaki (tidak memakai kasut). Kalau untuk kasut tumit tinggi, lebihkan untuk tumit.
10) Labuh jubah
Ukur dari bahu bersebelahan dengan pangkal leher melalui dada dan terus ke labuh yang dikehendaki.
Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube