WARNA hijau pun ada perbezaan taraf, mesti ramai yang tak sedar mengenainya, bukan? Meskipun kedengaran aneh, namun sebenarnya warna 'hijau miskin' atau 'green gecko' sering dikaitkan dengan cat dinding kebanyakan masyarakat di desa dan kawasan perkampungan. Menerusi perkongsian CH Home Linen di TikTok, istilah tersebut muncul disebabkan warna yang digunakan lebih terang kerana tidak dicampurkan dengan mana-mana warna lain waima putih. Harganya juga dikatakan lebih murah berbanding variasi yang lain. Tambahan pula, sejak kebelakangan ini muncul beberapa warna variasi hijau yang lebih cantik dan unik serta sesuai untuk dijadikan penghias dinding. Warna hijau sering dijadikan tema dekorasi kediaman. -Gambar hiasan Peminat warna alam ini bolehlah membuat pilihan yang tepat untuk mendekorasi kediaman mengikut konsep yang diinginkan. Ini 5 senarai warna hijau dan kod yang menyejukkan kediaman serta memberi keselesaan kepada penghuni seperti dikongsikan laman Berita 99. 1. Hijau Asparagus Warna ini terinspirasi dari tanaman asparagus yang juga dikenali dengan sayuran musim panas. Sesetengah individu gemar menjadikan hijau asparagus sebagai penghias dinding kediaman kerana memberikan impak luas pada ruang. Kombinasi dengan warna putih krim akan menyerlahkan lagi ruang tersebut. Kod warna: #87a96b 2. Hijau olive Warna hijau ini kebiasaannya dikategorikan sebagai warna yang natural kerana karakteristiknya adalah campuran sedikit coklat dan keemasan. Ramai yang gemar menggayakan warna hijau olive terutama sekali busana raya. Kod warna: #708238 Hijau mint sering dijadikan busana kerana warnanya lebih lembut dan unik. 3. Hijau mint Mint green merupakan warna yang popular dan sering dijadikan sebagai cat dinding rumah minimalis. Malah ada yang menjadikannya sebagai warna untuk pakaian rasmi kerana bersifat lembut. Kod warna: #98FB98 4. Hijau mantis Variasi warna hijau ini mengambil inspirasi daripada belalang. Sesetengah bahan dekorasi dan ruangan memerlukan warna hijau yang lebih terang bagi menimbulkan mood istimewa, oleh itu, hijau mantis adalah pilihan terbaik sekali gus menyerlahkan konsep diingini. Kod warna: #74c365 5. Hijau lumut Warna hijau ini terinspirasi daripada warna lumut, penggunaannya dalam hiasan dalaman termasuk cat dinding akan memberikan impak sejuk dan nyaman kepada penghuni. Tambahan pula warnanya lebih gelap dan menyamankan, sesuai untuk bilik tidur. Kod warna: #8a9a5b Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube