MERANCANG perkahwinan sering kali menjadi pengalaman yang penuh tekanan baik bagi pengantin lelaki atau perempuan.
Kebanyakan daripada mereka melakukan pelbagai kesilapan yang akhirnya membuatkan majlis perkahwinan bertukar kelam kabut dan tidak sempurna seperti diinginkan.
Berikut kami kongsikan lima kesilapan yang sering dilakukan oleh bakal pengantin:
1. Tak ikut bajet
Kesilapan yang sering dilakukan pasangan adalah berkaitan dengan angka. Bajet adalah perkara penting dan sensitif, jika ia tidak dibincangkan secara terbuka dari awal, masalah pasti akan timbul.
Anda harus duduk berbicang dengan pasangan dan keluarga untuk menetapkan bajet yang realistik dan mengikut kemampuan masing-masing.
Jangan terlalu mengikut nafsu atau bimbang dengan kata-kata orang sekeliling.
Bakal pengantin perlu menetapkan bajet mengikut kemampuan sendiri. -Gambar hiasan
Tiada guna majlis yang gah jika anda perlu berhutang, jadi rancanglah majlis yang sederhana mengikut kemampuan poket anda.
2. Dengar pendapat orang
Orang sekeliling pastinya banyak memberi pendapat untuk menjayakan perkahwinan anda.
Namun harus diingat anda adalah manusia biasa dan pastinya sukar untuk memuaskan hati semua orang.
Mendengar pendapat orang lain boleh menyebabkan anda kurang yakin dengan keputusan sendiri.
Anda tidak perlu memberi penjelasan kepada sesiapa dalam merancang hari yang istimewa ini.
Namun, janganlah juga bersikap terlalu degil sehingga mengabaikan nasihat-nasihat penting, terutamanya daripada mereka yang berpengalaman.
3. Terlalu ikut trend
Dengan pelbagai inspirasi di hujung jari, pasti anda akan melihat pelbagai trend perkahwinan yang patut diterjemahkan dalam majlis sendiri.
Elak trend yang terlalu menonjol, sebaliknya pilih tema lebih sesuai seperti klasik atau tradisional. -Gambar hiasan
Trend ini bukan sahaja melibatkan busana, malah turut merangkumi gaya mekap, pelamin, jenis hantaran dan pemilihan warna tema.
Namun harus diingat, kebanyakan trend hanya relevan dalam sesuatu tempoh masa sahaja.
Sebagai langkah selamat, pilihlah sesuatu yang klasik, tradisional dan ringkas agar ia sentiasa evergreen apabila dilihat semula dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.
4. Semua nak buat sendiri
Salah satu kesilapan perkahwinan yang sering dilakukan tanpa sedar adalah mengambil terlalu banyak tanggungjawab.
Walaupun anda adalah individu yang paling teratur di dunia, terdapat perkara tertentu yang lebih baik diserahkan atau ditugaskan kepada orang lain.
5. Terlalu tertekan
Apabila hari perkahwinan tiba, tidak berbaloi untuk anda bersedih mengenai perkara yang tidak dapat anda kawal atau ubah.
Biarkan segala-galanya berlaku secara semula jadi, nikmati majlis anda dan serap semua momen tersebut!
Anda hanya akan mengalaminya sekali, dan ia berlalu begitu pantas.