RAMAI yang percaya proses untuk mendapatkan kulit sihat dan berseri memerlukan rawatan mahal seperti suntikan botox,
Namun seorang pempengaruh TikTok dikenali sebagai Byzareefa, berkongsi cara semula jadi menggunakan kulit pisang untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cantik.
Menurut Byzareefa, dia menggunakan bahagian dalam kulit pisang untuk disapukan ke seluruh wajah sebagaimana petua yang diturunkan oleh ibunya.
Menerusi video yang dikongsi di TikTok, dia turut menunjukkan langkah mudah untuk mencuba petua ini.
"Ambil kulit pisang dan gosokkan pada kulit anda. Ia membantu mencerahkan, melembapkan, dan menenangkan kulit.
"Lakukan ini sekerap mungkin sepanjang minggu, dan anda akan lihat perubahan besar daripada segi kecerahan, kelembapan, dan tekstur kulit anda," jelas Byzareefa.
Anda akan melihat hasilnya jika mengamalkan petua ini secara konsisten.
Tambahnya lagi, selepas selesai menggosok kulit pisang, biarkan ia selama 10 minit sebelum dibilas dengan air suam.
Amalan ini jika dilakukan secara konsisten, mampu memberi kesan yang menakjubkan tanpa perlu menggunakan botox.
"Percayalah, anda tak perlukan botox kalau konsisten dengan petua ini," katanya.
Jadi, bagi anda yang mahu menjaga kulit, tidak salah untuk mencuba petua daripada Byzareefa ini.
Siapa tahu, kulit pisang mungkin menjadi rahsia kecantikan yang anda cari selama ini!