suria

Digelar ‘Human Barbie’, wanita ini guna darah anak lelaki lawan proses penuaan

Marcela sanggup berbelanja besar demi kecantikan diri. -Foto Jam Press/@marcelaiglesiashollyw

SEORANG ibu yang obses untuk kelihatan muda merancang untuk melakukan pemindahan darah daripada anak lelakinya dalam usaha untuk kekal awet muda.

Marcela Iglesias, 47, sebelum ini membelanjakan sebanyak RM510,000 untuk prosedur kosmetik dan menghabiskan kira-kira RM4,600 sebulan untuk suntikan Intravenous (IV), suntikan kesihatan, vitamin, dan krim sebagai sebahagian daripada usahanya melawan proses penuaan.

Dia mendakwa pemindahan darah daripada anaknya, Rodrigo, 23, akan menjadi langkah yang lebih jauh dan mampu "membalikkan" proses penuaan.

Selain Marcela, Rodrigo juga meluahkan kesediannya untuk memberikan sebahagian darah kepada neneknya bagi tujuan sama.

"Pemindahan darah adalah era baharu untuk mengekalkan sel muda dalam sistem badan anda, terutamanya jika ia datang daripada anak sendiri.

"Sejak saya mencuba terapi sel stem, saya mula mendalami penyembuhan dalaman dan luaran. Banyak manfaat boleh diperoleh daripada sel penderma yang lebih muda, terutamanya jika penderma itu adalah anak saya sendiri.

Jam Press/@marcelaiglesiashollyw

Selain rawatan kosmetik, Marcela juga menjaga pemakanan dan waktu tidur. -Foto Jam Press/@marcelaiglesiashollyw

"Saya kini sedang mencari doktor di Los Angeles yang boleh melakukan rawatan ini. Rodrigo sangat memahami bagaimana prosedur ini dilakukan dan semua manfaatnya.

"Dia bersedia untuk melakukannya dan teruja dengan idea membantu neneknya juga," kata Marcela yang turut dikenali sebagai Human Barbie.

Petua kekal muda

Antara lain, Marcela tidak mengambil produk soya, alkohol, minuman berkarbonat atau bergula.

Dia bersenam sekurang-kurangnya satu jam setiap hari dan sentiasa tidur selama lapan jam setiap malam.

Tidak selamat

Namun, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) sebelum ini memaklumkan prosedur tersebut belum diuji secara menyeluruh dan tidak boleh dianggap "selamat atau berkesan".

Rawatan seperti penggunaan plasma daripada penderma muda belum melalui ujian ketat yang biasanya diperlukan FDA untuk mengesahkan manfaat terapeutik sesuatu produk serta memastikan keselamatannya. - Agensi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain