suria

Ringgit mampu cecah RM3.55 sedolar akhir 2025

Jurang kadar faedah antara AS dan Malaysia semakin mengecil. -Gambar hiasan

BMI Country Risk & Industry Research (BMI) memberi pandangan positif terhadap ringgit dan meramalkan ia akan menguat kerana jurang kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia semakin mengecil.

Ia dibuat berdasarkan jangkaan potongan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada 2024 dan 2025.

Penilaian risiko politik dan penasihat analisis pasaran menjangkakan mata wang tempatan akan mengukuh dan mungkin mencapai RM3.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.

Ramalan ini disokong oleh aliran masuk dana portfolio yang kukuh dan jurang hasil yang semakin mengecil, memberi manfaat kepada mata wang tempatan.

BMI meramalkan jurang hasil akan semakin mengecil pada 2024, dengan jangkaan Fed memotong kadar sebanyak 75 mata asas lagi pada suku keempat, selepas pemotongan 50 mata asas minggu lepas.

Selain itu BMI juga menjangkakan Bank Negara akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3 peratus sehingga akhir 2024.

“Dalam tempoh enam bulan ke hadapan, kami meramalkan ringgit akan menguat sebanyak sembilan peratus pada 2025, mencapai RM3.55/dolar AS menjelang akhir tahun itu. Kami juga membuat ramalan bahawa purata ringgit adalah RM3.80/dolar AS, berbanding RM4.48/dolar AS sebelum ini.

"Pendorong utama adalah pelonggaran dasar lanjut sebanyak 125 mata asas pada 2025, yang akan menurunkan kadar faedah Rizab Persekutuan kepada tiga peratus menjelang akhir tahun.

“Sebaliknya, kami menjangkakan Bank Negara akan mengekalkan kadar pada tiga peratus hingga akhir 2025,” kata BMI dalam satu laporan.

Fitch Solutions menambah bahawa ringgit akan mendapat kekuatan daripada lebihan akaun semasa yang berterusan tahun depan, walaupun meramalkan sedikit pengurangan dalam pertumbuhan KDNK negara daripada 2.6 peratus yang dijangkakan pada 2024 kepada 2.4 peratus pada 2025.

"Fokus utama ramalan ini adalah jangkaan kami untuk aktiviti ekonomi yang perlahan di Amerika Syarikat dan tanah besar China pada separuh kedua 2024, yang kami jangka akan memberi kesan negatif kepada eksport barang Malaysia.

"Kedua-dua ekonomi ini menyumbang lebih 25 peratus kepada eksport barang Malaysia," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain