suria

Baru berjinak-jinak guna kad kredit? Ini ‘trick’ ada simpanan tunai dan elak muflis, manfaat lain pun banyak

Kad kredit memudahkan urusan perbelanjaan penggunanya. -Gambar hiasan

KAD kredit adalah antara kemudahan pinjaman yang paling mudah diperoleh pada masa ini dan melancarkan urusan transaksi harian.

Penggunanya turut ditawarkan bonus, diskaun dan promosi di samping ganjaran sebagai ahli kad selain membantu membina skor kredit.

Bagaimanapun, ramai yang disahkan muflis akibat penggunaan kad kredit kerana tersalah langkah yang mengakibatkan beban hutang berpanjangan.

Anda yang baru 'berjinak-jinak' dengan kad kredit, boleh mencuba tip perkongsian Adri Zamri ini.

'Trick' tersebut dapat mengelakkan anda terjerumus ke lembah muflis seperti yang berlaku kepada kebanyakan pengguna kad kredit.

Pada masa sama anda juga boleh mempunyai lebihan kewangan untuk simpanan jangka masa pendek.

Ramai pengguna kad kredit muflis kerana tersilap langkah dalam pengurusan kewangan. -Gambar hiasan

Ramai pengguna kad kredit muflis kerana tersilap langkah dalam pengurusan kewangan. -Gambar hiasan

1. Bayar komitmen bulanan tetap menggunakan kad kredit

Untuk bulan pertama penggunaan, anda disarankan membayar semua komitmen bulanan yang tetap menggunakan kad kredit yang baru diperoleh.

Sebagai contoh, kad kredit digunakan untuk membayar bil utiliti, penapis air, insurans, internet dan pospaid yang berjumlah RM1,000 pada bulan Oktober.

Boleh juga masukkan kos perbelanjaan bulanan atau mingguan ke dalam penggunaan kad kredit tersebut, kononnya jumlah keseluruhan penggunaan adalah RM3,000.

Jadi, duit gaji berjumlah RM3,000 yang sering digunakan untuk perbelanjaan bulanan itu disimpan ke dalam akaun lain seperti ASB atau Tabung Haji.

Bayaran penggunaan kad kredit perlu dilakukan mengikut jadual yang dinyatakan. -Gambar hiasan

Bayaran penggunaan kad kredit perlu dilakukan mengikut jadual yang dinyatakan. -Gambar hiasan

2. Bayaran kad kredit dibuat menggunakan gaji bulan seterusnya

Penyata perbelanjaan kad kredit akan diperoleh pada bulan seterusnya, iaitu pada November.

Pada masa ini, anda perlu mengasingkan jumlah penggunaan sebanyak RM3,000 untuk membuat bayaran kad kredit.

Kemudian untuk perbelanjaan bulanan pada November, anda boleh kembali menggunakan kad kredit berkenaan.

3. Disiplin dalam penggunaan kad kredit dan bayaran bulanan

Ulang proses yang sama menggunakan kad kredit tadi supaya anda mempunyai duit tunai ekstra di dalam akaun dan ia boleh digunakan semasa kecemasan nanti.

Paling penting, langsaikan bayaran mengikut penyata penggunaan kad kredit yang dikeluarkan dan jangan berbelanja di luar kemampuan.

Anda perlu disiplin dan mengurus kewangan dengan baik ya!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain