suria

Hutang pun ada baik dan jahat... Fahami dulu sebelum buat pinjaman, takut termakan diri

Pinjaman yang diambil secara terburu-buru boleh memakan diri. -Gambar hiasan

KETIKA kita berada dalam keadaan ekonomi yang serba mendesak, pastinya ramai tidak dapat lari daripada amalan berhutang untuk menampung perbelanjaan.

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan untuk berhutang, namun seseorang itu perlulah bijak memilih antara hutang baik dan hutang jahat.

Melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang pempengaruh kewangan dikenali sebagai Dr Adam Zubir berkongsi perbezaan antara kedua-dua jenis hutang tersebut.

"Boleh je nak berhutang, tapi kena tengok jenis hutang apa yang anda ambil tu," ujar Dr Adam.

Menurut Dr Adam, hutang jahat boleh dikira sebagai 'mazhab' kewangan yang terpesong.

Ukur baju di badan sendiri sebelum berhutang. -Gambar hiasan

"Jangan terkejut, ada orang buat begini, dia pergi ambil pinjaman peribadi sebab kononnya nak selesaikan hutang kereta atau sebarang jenis hutang lain.

"Cara ini mungkin boleh bantu kurangkan komitmen bulanan dalam jangka masa pendek. Tapi nanti di kemudian hari, kita kena bayar faedah yang tinggi untuk pinjaman peribadi itu, inilah dia hutang jahat yang saya maksudkan.

"Umpama kita kambus lubang lama dengan menggali lubang baharu yang lebih dalam daripada sebelumnya," jelas Dr Adam.

Ringkasannya, hutang jahat adalah pinjaman yang tidak membantu meningkatkan hasil pendapatan dan boleh mengganggu status kewangan anda.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya tak salah nak berjoli, tapi kena bijak... Cuba ikut formula ‘50-30-20’, pasti boleh bertahan sampai hujung bulan

Dr Adam seterusnya menjelaskan konsep hutang baik yang disarankan dalam ilmu kewangan.

"Hutang baik adalah hutang yang boleh membawa untung kepada kita, misalnya kita berhutang untuk beli hartanah seperti sebuah rumah, bulanan kita bayar RM1,600.

"Apabila sudah dapat kunci rumah, kita pergi ubah suai dan cantikkan rumah tu, lokasi pula strategik sebab berdekatan stesen pengangkutan awam, maka kita sewakan rumah tersebut dengan harga RM2,600 sebulan.

"Maksudnya saya ada aliran tunai berjumlah RM1,000 masuk setiap bulan, ini keuntungan saya. Malah saya tak perlu bayar hutang menggunakan pendapatan peribadi saya.

"Inilah secara mudahnya apa yang saya maksudkan dengan hutang baik," terang Dr Adam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain