suria

Rupanya tak salah nak berjoli, tapi kena bijak... Cuba ikut formula ‘50-30-20’, pasti boleh bertahan sampai hujung bulan

Perbelanjaan yang boros boleh membawa padah. -Gambar hiasan

PELBAGAI petua kewangan tersedia sebagai panduan kepada masyarakat.

Namun ada kalanya ia sedikit rumit untuk diikuti terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang kewangan.

Melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang penasihat kewangan dikenali sebagai Financial Faiz berkongsikan formula untuk membahagikan perbelanjaan bulanan secara bijak.

Menurut Faiz, pengurusan perbelanjaan adalah aspek paling penting dalam kewangan, tetapi ramai terlepas pandang untuk melakukannya.

Gaji boleh menjadi cukup dengan pengurusan kewangan yang cekap. -Gambar hiasan

"Prinsip saya untuk uruskan perbelanjaan ni adalah keep it simple, pastikan senang untuk kita fahami. Saya sarankan formula 50-30-20, ini yang paling baik untuk semua.

"50 peratus untuk komitmen hidup seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan. 30 peratus untuk kegunaan peribadi atau berjoli, manakala baki 20 peratus untuk simpanan.

"Suka saya ingatkan, 30 peratus bagi berjoli tu kita boleh kurangkan kalau komitmen hidup kita tinggi. Cuma satu benda yang kita tak boleh kacau adalah 20 peratus buat simpanan.

"Contohnya gaji bulanan kita adalah RM3,000, tolak siap-siap RM600 untuk 20 peratus simpanan. Jadi kita akan berbelanja dalam keseluruhan bulan itu dengan gaji seolah-olah RM2,400, baru tak terbabas," jelas Faiz.

ARTIKEL BERKAITAN: Ejen hartanah nasihat individu gaji bawah 5K tak patut miliki rumah sendiri... Kalau nak beli juga, ada satu syarat!

Bagaimanapun, Faiz menegaskan ramai dilihat melakukan kesilapan dalam menentukan pembahagian untuk komitmen hidup.

"Macam saya cakap tadi, kita boleh kurangkan pembahagian duit untuk berjoli dan lebihkan peratus bagi komitmen hidup kalau keadaan mendesak, tapi ada segelintir yang salah faham apa saya maksudkan.

"Misalnya satu kes saya jumpa, mamat ni pergi sewa rumah yang mewah kerana beranggapan ia adalah untuk komitmen hidup, jadi dia sangka tak jadi masalah kalau nak bayar mahal-mahal.

"Padahal boleh je sewa rumah murah yang sesuai dengan kemampuan, ini sebenarnya sudah dikira berjoli sebab nak duduk dekat tempat yang syok, bukan lagi komitmen hidup sepenuhnya.

"Akhir sekali, jangan lupa masukkan insurans takaful ke dalam pembahagian komitmen hidup, ini adalah wajib," terang Faiz.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain