NAMANYA macam pelik, tapi rasanya sedap.
Lebih kurang kuih koci bahan-bahannya cuma cara membungkus aje lain bak kata Mas Cotek yang berkongsi resipi ini.
Kuih ini dipanggil Balungan Hayam atau Balung Ayam, sejenis makanan kegemaran orang Banjar.
Jom kita mencuba. Mana tau menepati selera sekeluarga.
Bahan doh:
2 cawan tepung pulut
Air pandan secukupnya (boleh beli perasa/pewarna pandan atau pewarna. Jika rajin, kisar daun pandan dan ambil airnya)
Sedikit garam
Bahan lain:
Daun pisang (dilayur kasi lemnbut)
Sedikit minyak
Bahan untuk inti kelapa
1 cawan gula merah
1 cawan air
1/2 biji kelapa parut
2 sudu besar gula pasir
2 helai daun pandan disimpul
Begini cara membungkus Balung Ayam. Foto: Mas Cotek
Cara membuat inti:
Satukan semua bahan-bahan inti tadi. Masak sehingga airnya kering dan kemudian biarkan ia sejuk.
Cara membuat doh:
Ayak terlebih dahulu tepung pulut
Masukkan garam
Masukkan air pandan sedikit demi sedikit sehingga jadi doh yang tidak melekat di tangan
Sediakan daun pisang dan sapukan sedikit minyak
Ambil sedikit doh, letak di atas daun pisang (ratakan doh seperti karipap)
Letakkan inti kemudian lipat dua
Kemaskan keliling kuih dan tekan sedikit
Gunting lebihan daun pisang
Susun kuih dalam pengukus
Kukus selama 15 minit
Akhirnya biarkan kuih tadi sejuk dan sedia untuk dimakan bersama keluarga.