suria

Penat nak jaga, suami usia 81 tahun tolak isteri OKU masuk dalam laut

Jepun adalah salah sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang semakin tua. -Gambar hiasan (Reuters)

SEORANG lelaki warga emas menolak isterinya yang kurang upaya ke dalam laut kerana sudah 'penat menjaganya'.

Hiroshi Fujiwara, 81, mengaku bersalah melakukan jenayah itu pada 3 November 2022, dalam kejadian di Jepun.

Fujiwara memberitahu polis bahawa dia membawa isterinya, Teruko yang berusia 79 tahun ke jeti di Oiso di mana dia menolak wanita itu ke dalam laut.

Teruko, yang berkerusi roda memerlukan rawatan dan penjagaan perubatan yang rapi.

Tidak lama selepas melakukan jenayah itu, Fujiwara tidak dapat merahsiakannya lagi dan memberitahu apa yang berlaku kepada anak sulungnya. Susulan pengakuan itu, anak lelakinya menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Ayah saya kata dia tolak ibu ke laut," anaknya memberitahu polis, memetik Japan Times.

Kemudian, seseorang menghubungi polis tempatan apabila menemui mayat terapung di permukaan laut. Mayat itu dikenalpasti sebagai Teruko.

Fujiwara sebelum ini tinggal bersama isterinya dan telah menjaganya selama lebih dari 40 tahun.

Jepun adalah salah sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang semakin tua. Lebih satu perempat dari 126 juta penduduk berumur atas 65 tahun.

Tinjauan yang dipetik oleh South China Morning Post mendedahkan bahawa 17,281 insiden warga emas menderita akibat serangan oleh ahli keluarga direkodkan pada 2020. Akibat serangan fizikal itu, 25 individu meninggal dunia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain