KEPULANGAN seorang jemaah haji dari Tanah Suci menjadi perhatian di media sosial. Manakan tidak, jemaah wanita berkenaan, Suarnati Daeng Kanang, 46, menayangkan barang kemasnya yang dipakai dari atas kepala, rantai leher sehingga gelang tangan serta cincin. Bercakap kepada pemberita di lapangan terbang, wanita yang berasal dari Makassar, Indonesia itu memberitahu kesemua emas yang dipakainya dibeli pada harga 120 juta rupiah (RM37,189). Selain mengundang pelbagai spekulasi oleh warga maya, video tersebut juga menarik perhatian kastam dan lembaga cukai di Indonesia. Malah, Suarnati turut dipanggil untuk siasatan pada Isnin berikutan timbul keraguan mengenai kemampuannya membeli emas seberat 180 gram dari Arab Saudi. Seperti yang ditetapkan pihak pelembagaan, emas bernilai lebih 7 juta rupiah (sekitar RM2,153) menyebabkan Suarnati bakal dikenakan cukai. Bagaimanapun, menerusi perkongsian oleh KompasTV di TikTok, pihak pemungut cukai mengesahkan Suarnati bebas daripada potongan cukai. Hasil pemeriksaan mendapati emas yang dipakainya adalah tiruan dan bukan emas tulen seperti yang disebut-sebut. Suarnati kemudian turut mengaku ia dibeli secara suka-suka ketika bergurau dengan rakan sewaktu pesawat yang dinaiki hendak mendarat. "Saya menabung bertahun-tahun sebab saya fikir kalau beli emas nanti senang nak dijual semula apabila memerlukan wang," katanya. -CNNIndonesia Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube