SEORANG doktor gigi didakwa membunuh isterinya dengan meletakkan racun di dalam minuman protein mangsa. Dia berdepan dengan pertuduhan pembunuhan peringkat pertama di mahkamah pada Selasa. Polis berkata James Craig, yang mengadakan hubungan sulit sebelum kematian isterinya pada 18 Mac, telah melakukan carian dalam talian untuk jawapan kepada soalan seperti 'Adakah arsenik boleh dikesan dalam bedah siasat?' dan 'Bagaimana untuk membuat pembunuhan kelihatan seperti serangan jantung?'. Pada hari-hari berikutnya, isteri Craig, Angela Craig, membuat carian di Google mengenai simptom-simptom yang dialaminya termasuk vertigo, bibir bergetar dan sejuk, kata peguam John Kellner pada pendengaran Julai lalu. Berkahwin selama 23 tahun, mangsa yang merupakan ibu kepada enam anak, meninggal dunia akibat keracunan. Menurut koroner Arapahoe County Kelly Lear, racun itu mengandungi Sianida dan tetrahydrozoline, bahan yang ditemui dalam ubat titis mata. Dalam perbicaraan itu, peguam James Craig berhujah bahawa tiada bukti bahawa Craig telah memasukkan racun ke dalam air minuman protein isterinya. Sama ada afidavit mahupun keterangan semasa perbicaraan tidak membincangkan bagaimana penyiasat percaya Angela Craig diracuni dengan tetrahydrozoline. Craig juga kemudian didakwa kerana mengganggu bukti, tetapi butiran mengenai dakwaan itu belum didedahkan. Peguam pembela mencadangkan bahawa Craig, yang sebelum ini cuba membunuh diri, telah membuat carian dalam talian mengenai cara untuk membunuh diri. Ketua penyiasat kes tersebut, Bobbie Olson, mengakui pada perbicaraan bahawa ujian tidak menemui sebarang tanda sianida atau arsenik dalam dua botol yang digunakan untuk minuman tersebut. Penyiasat mendakwa bahawa Craig, yang secara rutin membuat minuman protein untuk isterinya, cuba meracuni mangsa pada 6 Mac lalu dengan arsenik. Isterinya bagaimanapun terselamat, dan Craig kemudian mengarahkan penghantaran segera kalium sianida, dengan memberitahu pembekal mengenai bahan itu diperlukan untuk pembedahan. Polis mendakwa Craig berjumpa dengan wanita lain ketika isterinya dirawat di hospital. Bagaimanapun bercakap kepada GMA ABC, wanita itu tidak rela menjalinkan hubungan dengan seseorang yang sudah berkahwin. - AP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube