KECOH di media sosial mengenai seorang pemandu teksi motosikal atau ojek mendapat pesanan yang bukan biasa-biasa daripada pelanggannya. Kisahnya menjadi tular apabila pemuda itu menaiki pesawat demi mendapatkan pesanan makanan khas oleh pelanggan. Petugas dari Medan, Indonesia itu menaiki penerbangan ke Yogyakarta, untuk membeli Bakpia Pathok, iaitu sejenis manisan terkenal di kepulauan Jawa itu. Kisah tersebut tular selepas satu video dikongsikan di laman X penyuka_ombak. Dalam rakaman tersebut, seorang penumpang kelihatan sedang merakam dirinya duduk di sebelah pemandu teksi motosikal itu. Video itu turut memaparkan perbualan antara petugas yang memakai seragam hijau dan pramugari. Pramugari itu bertanya kepada pemandu mengenai destinasi yang dituju kerana mereka tidak percaya sehingga perlu mengesahkannya semula dengan menyemak semula pas penerbangannya. “Maaf encik, saya cuma nak tahu encik,” kata salah seorang pramugari. “Tengok saja boarding pass,” kata pemandu teksi motosikal itu sambil menyerahkan pas penerbangannya kepada pramugari. Pramugari berkenaan mempercayainya meskipun terkejut, sebelum memulangkan semula pas penerbangan kepada penumpang itu. Menurut individu yang membuat rakaman video, pemandu teksi motosikal itu sebenarnya menerima tempahan untuk membeli Bakpia Pathok di Yogyakarta secara terus atas permintaan pelanggan. - OkeZone Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube