suria

‘Penyakit X’ sangat berbahaya! Pakar kata 20 kali lebih berisiko daripada Covid-19

Orang ramai mengambil suntikan vaksin ketika pandemik Covid-19. -Gambar hiasan / The Star

SELEPAS tiga tahun, Covid-19 kini berkurangan secara drastik dan menjadi kebimbangan kesihatan yang biasa.

Namun, profesional penjagaan kesihatan di United Kingdom (UK) kini bersiap sedia untuk menghadapi pandemik baharu yang berpotensi dikenali sebagai 'Penyakit X' (Disease X).

Menurut pakar, virus baharu itu mungkin lebih dahsyat daripada Covid-19, dan mungkin mempunyai kesan yang sama seperti Selesema Sepanyol pada 1918-1920.

Mereka memberi amaran bahawa potensi pandemik baharu ini mempunyai kapasiti untuk mengakibatkan kematian 20 kali ganda lebih ramai berbanding Covid-19.

Pandemik Covid-19 bermula pada 2020 dan meragut hampir tujuh juta nyawa di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelarkan wabak seterusnya yang dijangkakan sebagai 'Penyakit X', dengan menyatakan bahawa ia mungkin sudah 'dalam perjalanan'.

Menurut pakar kesihatan Dame Kate Bingham, yang mempengerusikan pasukan petugas vaksin UK pada 2020, Penyakit X mungkin mempunyai kapasiti untuk mengakibatkan kematian 20 kali ganda iaitu kira-kira 50 juta kematian, berbanding Covid-19.

Bercakap kepada Daily Mail, Bingham berkata, seluruh dunia perlu bersedia untuk memacu vaksinasi secara besar-besaran dan menyampaikan dos dalam waktu yang singkat.

"Bayangkan Penyakit X adalah berjangkit seperti campak dengan kadar kematian Ebola (67 peratus). Di suatu tempat di dunia, ia mereplikasi, dan lambat laun, seseorang akan mula berasa sakit," katanya.

Pada masa ini, tiada vaksin yang diluluskan tersedia untuk 'Penyakit X'.

Menekankan kepentingan saintis membangunkan koleksi vaksin prototaip yang berbeza untuk setiap keluarga virus yang memberi ancaman, Bingham berkata, hanya permulaan pada vaksin untuk virus maut boleh membantu menyasarkan ciri khususnya.

Menurut Bingham, sementara saintis telah mengenal pasti 25 keluarga virus merangkumi beribu-ribu virus individu, terdapat berjuta-juta virus lain yang masih belum ditemui, lapor Daily Mail.

Pakar kesihatan itu berkata, antara tindakan awal yang perlu diambil ialah memperuntukkan sumber kewangan yang diperlukan. - Hindustan Times

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain