KES penderaan kebiasaannya melibatkan kanak-kanak dan anak remaja. Bagaimanapun, menerusi pendedahan terkini media antarabangsa, seorang warga emas didapati menjadi mangsa penderaan oleh jirannya. The Mirror melaporkan bahawa mangsa yang dikenali sebagai Olga Bogdanova bukan sahaja didera secara mental dan fizikal selama 15 tahun, malah jirannya turut memeras wang persaraan yang berjumlah £21,700 (kira-kira RM123,370). Kejadian itu terbongkar apabila bekas veteran tentera Rusia semasa Perang Dunia II berusia 96 tahun itu mengalami serangan jantung dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Pendedahan itu mendorong polis dan pendakwa raya di Smolensk membuka kes dan menahan jiran mangsa, Galina Barashneva. “Menurut laporan pendakwa raya, kes jenayah telah dibuka atas tuduhan penipuan, penahanan yang menyalahi undang-undang dan menyebabkan seorang veteran Perang Patriotik dalam bahaya,” kata Yulia Kazakova, penolong pendakwa raya kanan wilayah Smolensk. Dalam pada itu, Olga memberitahu media tempatan bahawa dia ditahan di rumahnya tanpa sebarang penjagaan. "Saya tidak mencuci rambut selama setahun. Rambut saya panjang, tetapi penjaga saya memotongnya dan dia berkata tidak ada air," ujarnya. Terdahulu, pengalaman pahitnya telah disiarkan di televisyen negara selepas mendakwa dia diikat di katil oleh jirannya selama 15 tahun. Lebih menyedihkan apabila katil yang digunakan itu bukan sahaja sudah patah malah bilik yang didiami berada dalam keadaan lembap dan cat mengelupas. Dia juga dibiarkan dalam keadaan kesejukan dan hanya menggunakan selimut untuk kekal hangat pada musim sejuk selain wang persaraannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube