SEMENANJUNG GAZA: Kenderaan model baru dan jip pacuan empat roda yang diseludup melalui terowong di bahagian bawah selatan Semenanjung Gaza bersempadan dengan Mesir, menjadi tarikan di jalan-jalan wilayah yang sempit.Bersama-sama dengan bekalan makanan dan bahan-bahan pembinaan, penyeludup menggunakan terowong itu membawa kereta dan jip bagi memenuhi keperluan kenderaan oleh penduduk selepas rejim Tel Aviv membenarkan sejumlah bilangan kenderaan untuk diimport sebagai satu daripada usaha memudahkan pengepungannya, tahun lepas. Israel melarang kenderaan daripada memasuki Gaza sejak 2007 apabila Hamas mengambil alih Semenanjung Gaza daripada kumpulan Fatah. Harga pasaran kenderaan melonjak naik berikutan tindakan Israel itu.Para pengedar berkata kenderaan yang dibawa dari Libya mendapat permintaan besar dari penduduk Gaza dan sejumlah besar diseludup ke semenanjung itu berikutan keadaan tegang di Libya dan terutama di bandar Benghazi yang dikawal oleh pemberontak.Para peniaga Libya menjual kenderaan mereka di negara jiran Mesir dan penyeludup Palestin membawa ia masuk ke Gaza dari Mesir," kata mereka.Kenderaan baru menarik perhatian orang ramai semasa ia dipandu di jalan raya. Dengan jip pacuan empat roda tidak dibenarkan masuk oleh Israel atas "sebab-sebab keselamatan" sejak 2002, orang ramai begitu ghairah bergambar bersama dengan jip baru.Terowong-terowong yang digunakan untuk menyeludup kereta itu diterangi lampu yang digantung di dinding.Para pekerja di dalam terowong mendengar bunyi dan deruan datang dari terowong berhampiran dan sekali sekala mereka memecah dinding masing-masing semasa menggali dan bekerja di bawah tanah.Laluan bawah tanah yang dibina untuk membawa masuk kereta adalah berbeza dari laluan-laluan lain kerana ruangnya yang luas. Laluan lain untuk membawa makanan adalah lebih sempit dan pendek.Para penyeludup, di sebelah Mesir dan Semenanjung Gaza, menggunakan telefon primitif untuk berhubung di antara satu sama lain semasa di dalam terowong. Sebaik melepasi terowong, kenderaan itu akan diselaputi pasir dan habuk yang melekat semasa ia diseludup.Seorang daripada penyeludup yang enggan mendedahkan identitinya berkata beliau menghabiskan masa seminggu di Mesir dan seminggu lagi di Semenanjung Gaza untuk mengatur urusan dengan para peniaga Mesir dan Libya.Beliau menjelaskan terdapat permintaan yang tinggi untuk kereta yang diseludup sejak semenanjung itu tidak mendapat kenderaan sejak sekian lama.Penyeludup itu memberitahu Bernama bahawa dengan tugasnya itu, hasil pendapatannya meningkat secara mendadak walaupun terpaksa berdepan dengan perjalanan penuh risiko.Beliau berkata para penyeludup menggunakan terowong itu boleh dianggap sebagai orang yang terkaya di dalam kawasan Gaza yang dikepung."Saya sentiasa terdedah kepada bahaya," katanya.Israel sering mensasarkan kawasan terowong sebagai respons kepada bedilan roket yang dilepaskan oleh militan Gaza ke arah Israel.Kebiasaannya, para peniaga kenderaan yang mengimport kenderaan melalui Israel kini kebanyakannya membeli kereta seludup.Mereka beralih bagi memenuhi perubahan ini disebabkan bilangan kereta yang terhad yang dibenarkan oleh Israel.Seorang pengedar kereta, Abu Mohammed Dogmosh berkata, para peniaga dapat bergantung harap dengan kenderaan seludup bagi menyambung semula perniagaan mereka."Kenderaan seludup lebih mahal tetapi tiada alternatif lain," katanya.Kereta dan jip dengan jenama Hyundai, KIA dan PMW dipamerkan di pusat pameran Abu Mohammed. Perkataan Arab "Republik Libya" dan "Kaherah" kelihatan pada plet pendaftaran.Abu Mohammed kini menunggu tiga jip pacuan empat roda yang ditempah dari salah seorang penyeludup dan dijangka tiba di Gaza minggu depan.Keadaan kereta di Semenanjung Gaza adalah teruk memandangkan alat gantinya sangat mahal dan sukar didapati.Bahan api yang diseludup dari Mesir melalui saluran paip bawah tanah bersempadan Rafah dengan Mesir, tidak ditapis dan sentiasa menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.Walaupun terpaksa menunggu berbulan-bulan, sesetengah orang lebih memilih untuk membeli kereta import melalui Israel kerana mereka percaya bahawa ia lebih sah di sisi undang-undang dan boleh dipercayai."Saya ingin membeli sebuah kereta jenama Hyundai 2011 tapi saya akan tunggu hingga saya dapat dari sebelah Israel. Sebuah kereta seludup mungkin dicuri jadi saya tidak mahu menyusahkan diri saya," kata Khaled Galaga, 30.Hamas, yang mentadbir Semenanjung Gaza, mengenakan beberapa peraturan untuk memberi lesen kepada kereta seludup.Pentadbiran Islam itu memastikan bahawa para pembeli mempunyai perakuan yang sah daripada penjual sebelum memberikan nombor pendaftaran.Menurut Kementerian Pengangkutan yang ditadbir Hamas, Israel membenarkan 40 kereta seminggu untuk dibawa masuk ke Gaza melalui Karem Shalom merentasi antara Rafah dan Israel."Kami sedar bahawa kenderaan seludup ini dibawa secara haram ke semenanjung tapi sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa ia tidak dicuri dari negara lain."Tindakan pengepungan mendorong kita untuk mencari alternatif lain," kata seorang pegawai kementerian Hasan Okasha.