SEORANG pekerja kargo menyifatkan tragedi nahas Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sebagai “salah satu hari paling gelap dalam hidupnya” apabila dia mendakwa dirinya antara yang terakhir melihat kesemua penumpang sebelum pesawat itu memulakan penerbangan. Dalam satu ucapan penghormatannya dengan penuh emosi yang diluahkan di Facebook, Martin Hoebee berkata, dia sedang bertugas ketika kejadian pesawat itu dipercayai ditembak jatuh. Katanya, dia sebelum itu telah berbual dengan kru pesawat sebelum ia berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam untuk ke Kuala Lumpur. Hoebee berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami “sakit kepala teramat sangat”. Perasaannya itu dikongsi oleh rakannya Fatmir Jusufi di Twitter, yang menyifatkan pengalaman pahit itu sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan. Sementara itu, gurauan seorang penumpang warga Belanda dengan memuat naik gambar di laman Facebooknya beberapa minit selepas menaiki pesawat penerbangan MH17 bahawa ia akan 'hilang', akhirnya bertukar menjadi kenyataan. Dalam posting berkenaan Cor Pan menyatakan: “Jika ia akan hilang, seperti inilah yang akan berlaku." Pan, yang merancang untuk menikmati percutian di pantai Malaysia, memuat naik gambar untuk senagaja bergurau bahawa satu lagi pesawat akan hilang secara misteri seperti berlaku terhadap pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi, pada Mac lalu. Gambarnya itu dipercayai diambil dari pintu masuk penumpang dengan pesawat sedang menunggu di ruang parkir. Gambar berkenaan itu disertakan dengan keterangan 'di Lapangan terbang Schipol'.