SINGAPURA: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang dilaporkan terhempas di Ukraine, dipercayai terbang di ruang udara tanpa sekatan. Dalam kenyataan dari Geneva, persatuan syarikat penerbangan itu menyatakan: "Berdasarkan maklumat semasa yang diperoleh, adalah dipercayai ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan." "Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal MH17," kata IATA. Media asing melaporkan sebuah pesawat penumpang Malaysia Boeing 777 yang membawa 295 orang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia. Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan Amsterdam) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 6.10 pagi (waktu tempatan Malaysia) pada hari berikutnya.