suria

Mayat, Barangan Mangsa Ditemui Di Lokasi Nahas - OSCE

Pasukan penyiasat sedang meneliti lokasi nahas pesawat MH17.
DONETSK: Misi pemerhati Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) pada Jumaat memuji apa yang dipanggil sebagai 'hari penting' di tapak nahas pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine kerana pakar antarabangsa berjaya menemui beberapa lagi mayat dan barangan milik mangsa.

"Saya percaya kita semua bersetuju pada hari ini adalah hari penting dalam proses mencari beberapa lagi mayat mangsa.

"Ia adalah hari yang bagus. Pasukan penyiasat berjaya menemui mayat mangsa yang masih tinggal," kata jurucakap OSCE ke Ukraine, Michael Bociurkiw.

Timbalan Ketua misi OSCE ke Ukraine, Alexander Hug berkata, beliau tidak pasti berapa banyak mayat yang berjaya ditemui.

"Beberapa mayat ditemui pada hari ini," kata Hug.

Hug berkata, barangan peribadi milik mangsa turut dibawa ke Torez, bandar berdekatan dengan lokasi nahas menggunakan kereta api.

Rundingan pada Jumaat di Minsk antara wakil-wakil dari Ukraine, Rusia dan OSCE bersetuju kereta api tersebut bergerak ke Kharkiv yang terletak di luar kawasan zon pemberontak.

Beliau berharap agar kereta api tersebut boleh bergerak pada malam esok dan menyerahkan barangan peribadi mangsa ke Kharkiv sebelum dihantar ke Belanda untuk proses pengecaman.

OSCE, MH17, Ukraine

Artikel Lain