SINGAPURA: Seorang penghantar barang yang cuba memberi pil menggugurkan anak kepada remaja perempuan berusia 15 tahun yang mengandungkan anaknya dikenakan hukuman penjara 20 bulan. Nuzul Shamil Kassim, 24, ditahan sebelum memberi pil berkenaan kepada remaja berkenaan yang lebih awal telah menggugurkan kandungannya. Tertuduh mengaku bersalah untuk tiga pertuduhan melakukan hubungan seks dengan mangsa di rumah pangsa Jalan Tenteram pada Mei dan Julai tahun lalu. Tujuh lagi pertuduhan turut dipertimbangkan. Timbalan Pendakwa Raya, Li Yihong memberitahu mahkamah, tertuduh bertemu pelajar sekolah menengah itu menerusi rakannya pada akhir April tahun lalu. Seterusnya mereka bertukar nombor telefon sebelum keluar bersama beberapa kali dengan rakan remaja perempuan itu. Pada minggu pertama Mei, mangsa mahu tertuduh menjadi teman lelakinya dan Nuzul Shamil mempersetujinya beberapa hari kemudian. Seterusnya antara 11 Mei dan 22 Mei, tertuduh menjemput remaja itu ke rumahnya dan memperkenalkannya kepada kakaknya sebagai teman wanitanya. Oleh kerana telah lewat malam, remaja perempuan itu bermalam di rumah tertuduh, malahan tidur atas tilam yang sama dengan Nuzul Shamil dan adik perempuan tertuduh. Apabila semua ahli keluarga tertuduh telah tidur, Nuzul Shamil dikatakan mula menciumnya sebelum melakukan hubungan seks dengan remaja itu. Menurut Li Yihong, selepas insiden itu, remaja wanita itu ke rumah tertuduh sekali atau dua kali seminggu untuk tujuan seks. Nuzul Shamil kemudiannya memutuskan hubungan mereka pada 8 Julai dan pada Ogos remaja itu mendapati dia mengandung dan menggugurkan kandungannya. Tertuduh bagaimanapun mendapatkan pertolongan kakaknya membeli pil mengugurkan kandungan, tetapi Nuzul Shamil telah ditahan sebelum pil berkenaan diserahkan kepada remaja itu. Kata Li Yihong, tertuduh telah melakukan 10 kesalahan dalam tempoh masa singkat. Hukuman bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur adalah 10 tahun penjara dan denda.