suria

Warga Perancis Antara 10 Militan IS Ditahan

SALE: Seorang warga Perancis adalah antara 10 suspek militan Negara Islam (IS) yang ditahan pihak berkuasa Maghribi dekat sini, Jumaat.

Dalam operasi sama, pasukan keselamatan itu juga merampas senjata serta bahan membuat bom dalam serbuan ke atas tempat persembunyian pengganas itu.

Maghribi mendakwa serbuan itu adalah yang terbaru ke atas kumpulan radikal terbabit. Serbuan dilakukan di lokasi kumpulan terbabit berhimpun, iaitu di bandar Esaouira dan tengah bandar Meknes serta Sidi Kacem.

Bertempat di pejabat Biro Pusat Penyiasatan Kehakiman (BCIJ), senjata, peluru, senjata renjat, pedang dan bahan-bahan membuat bom yang dirampas dari tempat persembunyian mereka, dipamerkan kepada wartawan.

BCIJ adalah sayap kehakiman perisikan dalaman Maghribi.

"Sel baharu itu terlalu bahaya, ia umpama pasukan bersenjata," kata Ketua Biro Abdelhak al-Khayyam kepada pemberita.

Al-Khayyam berkata, kumpulan itu mengikrarkan taat setia kepada kepada IS dan membina sebuah tempat persembunyian berhampiran bandar padang pasir di Tan-Tan di kawasan gersang penuh dengan gua.

Suspek termasuk seorang mualaf warga Perancis dan tinggal di Maghribi sekurang-kurangnya setahun serta seorang warga Maghribi berusia 16 tahun.

Katanya, kumpulan itu merancang untuk menggunakan remaja berusia 16 tahun itu sebagai pengebom bunuh diri dan menyasarkan beberapa institusi dan bangunan terkemuka di Maghribi semalam. - Reuters

Artikel Lain