suria

Flydubai Sahkan Penerbangan FZ981 Terhempas Ketika Mendarat

SEorang pakar psikologi daripada Kementerian Kecemasan Rusia menenangkan waris mangsa pesawat terhempas Flydubai Boeing 737-800 di Lapangan Terbang Rostov-On-Don, Rusia. -fotoREUTERS

KUALA LUMPUR: Flydubai Airline, syarikat penerbangan tambang rendah Dubai, mengesahkan pada Sabtu bahawa penerbangannya, FZ981, dari Dubai ke bandar Rostov-on-Don di Rusia, terhempas ketika melakukan pendaratan.


Dalam kenyataan melalui laman sesawangnya, syarikat itu mengesahkan nahas itu mengakibatkan kehilangan nyawa, tetapi tidak menyatakan jumlah mereka yang maut.

Katanya, nahas berlaku pada kira-kira 00:50 GMT (8.50 pagi Sabtu waktu  Malaysia) ketika pesawat berkenaan melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Rostov-on-Don.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) pada 18:20 GMT (2.20 pagi Jumaat waktu Malaysia), katanya.

"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengumpul maklumat mengenainya dengan secepat mungkin. Ketika ini, doa dan harapan kami mengiringi para penumpang dan kru kami yang menaiki pesawat itu.

"Kami akan melakukan segala yang terdaya bagi membantu mereka yang terjejas oleh kejadian ini. Kami mengerahkan pasukan respons kecemasan kami untuk mengambil tindakan sewjarnya dan akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkenaan," kata syarikat itu.

Flydubai Airline berkata pihaknya akan berkongsi sebanyak mungkin maklumat serta mengemaskinikannya dari semasa ke semasa.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat tentang rakan atau anggota keluarga masing-masing yang mungkin menaiki pesawat itu boleh menghubungi +44203 4508 853 atau +9714 293 4100.
Flydubai, pesawat terhempas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain