suria

Gambar Budak Tidur Atas Kotak Jadi Perhatian

Gambar menyedihkan anak Zulfia yang sedang tidur di atas kotak, mengundang pelbagai reaksi ramai pihak. - AGENSI

BISHKEK: "Saya berasa malu. Walaupun saya miskin, saya tetap menjaga anak dan saya bukan pemalas."

Itulah luahan seorang ibu di Krygystan apabila gambar anak lelakinya yang berusia tiga tahun sedang tidur di atas kepingan kotak, tersebar dalam laman sosial dan menjadi topik hangat sesama netizen.

Ada pihak mengkritik tindakan wanita itu meninggalkan anak kecil itu sebagai tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.

Malah tidak kurang juga dengan pihak yang bersimpati dengan nasib wanita berkenaan kerana menerima kesan masalah kemiskinan yang semakin meruncing di negara Asia Tengah itu.

Namun ibu kanak-kanak tersebut, Zulfia Usenova tampil memberi penjelasan sebab dia berbuat demikian.

"Saya terpaksa meninggalkan anak saya dalam keadaan itu supaya saya dapat bekerja.

"Dia sedang tidur ketika saya sedang bekerja dan terpaksa meletakkannya di atas tanah di tempat yang selamat.

"Dia hanya tidur selama 15 minit sahaja ketika gambarnya diambil," kata Zulfia.

Susulan kejadian tersebut, ada pihak menyalahkan Presiden Krygystan sebagai punca kerana gagal menyelesaikan isu kemiskinan.

Malah keluarga seperti Zulfia sering diberikan janji-janji manis oleh pihak kerajaan yang kononnya mahu membasmi kemiskinan.

"Seorang menteri pernah datang ke rumah dan membelikan makanan serta pakaian kepada anak saya, tetapi sejak itu tiada lagi bantuan yang dihulurkan.

"Saya juga dimaklumkan Presiden telah mengarahkan untuk memberi penempatan kekal kepada saya, tetapi tiada sebarang tindakan dibuat setakat ini," katanya.


Budak, Kotak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain