ENAM calon Gabenor Jakarta yang bertanding pada pemilihan kali ini buat pertama kali bersua muka ketika berkunjung ke Hospital Tentera Laut Mintohardjo di Bendungan Hilir, Jakarta Tengah untuk pemeriksaan kesihatan. Pertemuan sulung ini sekali gus mengisytiharkan pencalonan mereka untuk pilihan raya yang bakal berlangsung itu. Kempen mengenainya semakin hebat diperkatakan di laman media sosial terutama di kalangan penyokong tiga pasangan calon terlibat. Bagaimanapun, situasi di hospital berkenaan berbeza apabila masing-masing berseloroh dan menyapa satu sama lain dengan mesra. Malahan mereka turut wefie bersama sebelum memuatnaik gambar yang dirakam ke laman media sosial masing-masing. "Selfie sebelum pemeriksaan kesihatan," demikian catatan pada akaun Instagram calon gabenor, Anies Baswedan. Turut bergambar bersamanya adalah rakan sepasukannya, Sandiaga Uno; Gabenor Jakarta Basuki Ahok Tjahaja Purnama; Timbalan Gabenor, Djarot Saiful Hidayat; anak bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Agus Harimurti Yudhoyono dan rakannya Sylviana Murni. Gambar itu diikuti dengan beberapa yang lain ketika mereka bersama pasukan perubatan hospital berkenaan yang dimuatnaik menerusi laman media sosial Sandiaga. "Mungkin juga kami ada grup WhatsApp," kata Sylviana kepada pihak media sambil disambut gelak ketawa calon yang lain. Sementara itu, kata Ahok, pilihan raya itu adalah pertandingan melibatkan idea dan program untuk mewujudkan bandar yang lebih baik kepada penduduk Jakarta. "Saya tidak mahu dengar sebarang kenyataan menjurus kepada etnik, agama dan bangsa ketika kempen pilihan raya ini," katanya yang mendapat tentangan kumpulan ulama untuk memastikan beliau tidak dilantik semula kerana faktor agama. Kempen pilihan raya ini bermula 26 Oktober dan berakhir 11 Februari 2017, iaitu empat hari sebelum pengundian dijalankan, sebelum fasa kedua berlangsung dan hari mengundi ditetapkan pada 19 April tahun depan.