SEBUAH kajian baharu dijalankan oleh Universiti Brigham Young dari Utah, Amerika Syarikat mendedahkan terdapat empat jenis pengguna yang menggunakan Facebook. Sebagai laman sosial yang popular di dunia, Facebook mencetuskan tanda tanya pada pakar akademik, Tom Robinson tentang punca Facebook mampu menakluki dunia. "Kenapa ada orang yang sanggup mempamerkan kehidupan mereka? Tiada orang yang pernah tanya soalan ini, kenapa anda sukakan ini?," soalnya. Robinson dan beberapa penyelidik lain di universiti itu mencari jawapan dengan menyoal peserta untuk memberi reaksi kepada 48 kenyataan, menggunakan penunjuk kadar kepopularan daripada skala 'paling seperti saya' kepada 'paling tidak seperti saya'. Berdasarkan respon yang diterima, empat jenis pengguna Facebook yang dikenalpasti adalah pembina perhubungan, pencanang, swafoto dan 'window shoppers' (orang yang menengok-nengok gambar). Pembina perhubungan adalah golongan yang memuat naik posting sebagai reaksi kepada posting orang lain untuk mengekalkan atau menguatkan hubungan dalam kehidupan sebenar mereka. "Mereka guna Facebook sebagai alat extension (memanjangkan) kehidupan sebenar dengan keluarga dan kawan-kawan," kata Robinson. Golongan 'window shopper' gemar menengok-nengok gambar yang dimuat naik oleh orang lain. Seperti pembina perhubungan, golongan swafoto pula gemar memuat naik gambar, video dan kemas kini teks untuk mempromosikan diri sendiri dan tertumpu kepada aktiviti mendapatkan perhatian, tanda suka dan komen. Penulis bersama, Kris Boyle berkata, golongan swafoto mempersembahkan imej diri mereka sama ada ia tepat ataupun tidak. Pencanang pula tidak gemar berkongsi gambar, ceita atau maklumat tentang diri mereka. Mereka gemar memberitahu semua orang tentang apa yang sedang berlaku. Golongan tersebut mengulang pos berita, pengumuman acara - mungkin selalu mengabaikan laman profil sendiri dan memilih untuk berkomunikasi dengan keluarga dan kawan menerusi kaedah alternatif. Golongan 'window shopper' pula seperti golongan pencanang yang memiliki perasaan kewajipan sosial untuk menggunakan Facebook tapi jarang memuat naik maklumat peribadi mereka. Mereka mahu melihat perkara yang dilakukan oleh orang lain, sama seperti perbuatan memerhatikan gelagat manusia tetapi di alam sosial media. Kajian tersebut boleh dibaca secara atas talian dalam International Journal of Virtual Communities and Social Networking. — AFP Relaxnews