BARCELONA: Seramai 22,000 pengunjung festival yang sedang berlangsung di sini terpaksa dipindahkan susulan kebakaran yang merosakkan salah satu pentas persembahan. Pemeriksaan pihak berkuasa bagaimanapun mengesahkan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan semasa proses pemindahan Festival Tomorrowland Unite Spain itu. Metro.co.uk melaporkan, punca kebakaran masih disiasat namun dianggarkan piroteknik yang rosak adalah sebab utama insiden tersebut berlaku. Api marak dengan cepat hingga membakar pentas utama menyebabkan peminat lari menyelamatkan diri. Mujur pihak berkuasa bertindak pantas dan mengawal keadaan serta memastikan proses pemindahan dilakukan dengan teratur. Malang sekali kebakaran terjadi semasa artis, Steve Aoki dijadualkan memulakan persembahan. Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa penganjur festival merancang untuk kembalikan bayaran kepada semua pengunjung yang dipindahkan.