suria

Pelancong Cemas, Serangan Bas Disangka Pengganas

Pelancong cemas apabila empat lelaki bertopeng menyerang bas yang dinaiki mereka di Barcelona. Foto solarpix.com/mail online

SEKUMPULAN pelancong melalui detik cemas apabila empat lelaki bertindak menyerang sebuah bas pelancong di Barcelona.

Kumpulan itu merosakkan tayar bas dan mula menconteng pada tingkap kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, ia sebenarnya merupakan satu bantahan terhadap aktiviti pelancongan yang giat dijalankan di Barcelona.

Kekecohan berlaku apabila empat lelaki bertopeng menahan bas yang berada di luar kubu kuat Barcelona di Stadium Camp Nou.

Para pelancong yang berada di dalam bas mulai panik terutama mereka yang bersama keluarga dan anak-anak kecil.

Seorang pelancong, Andrew Carey, 39, dari Bridgend, selatan Wales yang berada di atas tingkat atas bas bersama isterinya Natalie ketika kejadian berlaku berkata, dia menyangkakan ia merupakan serangan pengganas.

"Kesemua lelaki bertopeng mengepung bas dan mula menjerit. Kami berdebar dan menjangkakan seseorang akan naik ke atas dengan membawa pisau atau pistol.

"Tetapi lega kerana mereka hanya membuat contengan grafiti menggunakan penyembur pada bas. Bagaimanapun, keadaan tersebut amat menakutkan," katanya. 

Ketua dewan bandar raya Barcelona mengenal pasti serangan itu dan menyifatkannya sebagai insiden terpencil walaupun mengakui ia merupakan kerja pihak tertentu. - Mail Online


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain