suria

Daesh Serang Tentera Peronda

BRUSSELS: Kumpulan militan Daesh mendakwa menyerang seorang anggota tentera yang sedang melakukan rondaan keselamatan di ibu kota Belgium ini.

Insiden itu berlaku beberapa jam sebelum penyerang bersenjatakan pedang mencederakan polis di luar Istana Buckingham di London.

Penyerang itu telah mencederakan seorang anggota tentera dan pihak berkuasa telah bertindak menembak mati suspek.

Datuk Bandar Brussels, Philippe Close berkata, serangan pada pukul 8 malam itu dilakukan secara bersendirian.

"Suspek menggunakan pisau menyerang sekumpulan beberapa anggota tentera dari belakang sebelum ditembak.

"Berasal dari Somalia, suspek yang berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Polis turut menyerbu kediaman suspek yang mendapat kewarganegaraan Belgium pada 2015 di Bruges.

Di London, polis berjaya menahan lelaki yang mencederakan tiga pegawai tidak bersenjata di luar kediaman diraja itu.

Penyerang lelaki berusia 26 tahun itu menggunakan pedang sepanjang 1.2 meter.

Lelaki itu kini ditahan mengikut Akta Keganasan, yang membolehkan penahanan tanpa dakwaan selama 14 hari.

Kedua-dua serangan dilakukan ketika Eropah dalam keadaan berjaga-jaga susulan serangan maut sejak dua tahun lalu, kebanyakannya didakwa dilancarkan Daesh.

Minggu lalu, Sepanyol digegarkan dengan dua kes rempuhan kereta yang menyebabkan 15 maut, manakala dua lagi terbunuh ditikam di Finland. - AFP


Brussels, Philippe Close

Artikel Lain