SEBUAH jet mewah terhempas di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul, Turki, sebelum terbakar di landasan. Juruterbang pesawat dilaporkan maut, manakala tiga yang lain cedera dalam insiden awal pagi Jumaat, lapor akhbar tempatan Daily Sabah. Walau bagaimanapun, laporan ini bertentangan dengan beberapa sumber lain yang mendakwa dua juruterbang dan dua penumpang cedera. Video detik cemas yang dirakam berhampiran lapangan terbang menunjukkan api marak dan kepulan asap tebal. Pesawat itu terhempas ketika cuba mendarat di lapangan terbang dan terbakar selepas ia meletup di landasan. Pemantau penerbangan AirLive berkata pesawat yang berlepas ke Cyprus itu cuba untuk berpatah balik ke lapangan terbang kerana 'kegagalan penggera'. Tayarnya kemudian meletup ketika mendarat. Mereka berkata: "Menurut laporan pertama, pesawat itu berlepas dari Istanbul ke Cyprus dan cuba berpatah balik selepas mengalami masalah penggera. Tayarnya meletup semasa percubaan mendarat." Foto-foto yang diambil di tempat kejadian menunjukkan pesawat terhempas berhampiran sistem parit dan saliran. Badan pesawat dilihat hangus terbakar dengan hanya bahagian muncung pesawat masih kelihatan. Jet tersebut telah didaftarkan sebagai TC-KON, sebuah pesawat persendirian yang mana ia dikenal pasti oleh FlightRadar24 sebagai Cessna 650 Citation 7. Airlive berkata: "Cessna Citation VII dengan kod pendaftaran TC-KON melencong dari landasan kerana pendaratan kecemasan dan pasukan kebakaran berada di kawasan itu untuk memadamkan api." Dua landasan di Lapangan Terbang Ataturk telah ditutup tetapi trafik diteruskan, menurut Turkish Airlines. Pesawat itu, menurut laman web FlyVictor, berpangkalan di Lapangan Terbang Ataturk dan boleh menampung enam penumpang dan dua kakitangan penerbangan. Pesawat itu berusia 19 tahun dan telah diperbaharui pada tahun 2013. Ia boleh mencapai kelajuan 508 batu sejam. Turkish Airlines menulis di Twitter: "Penumpang yang dihormati, penerbangan kami dari/ke Lapangan terbang Ataturk Istanbul sedang beroperasi. Sila periksa status penerbangan anda melalui laman web kami."