ABANG kepada bintang bola sepak Lionel Messi dilaporkan ditahan kerana memiliki senjata api haram, yang ditemui di botnya. Matias Messi, 35, ditahan di sebuah hospital di Rosario, utara Argentina, yang menempatkannya selepas menjalani rawatan akibat kecederaan yang didakwanya disebabkan kemalangan bot. Matias berkata, rahang dan hidungnya patah selepas bot yang dipandunya melanggar tebing pasir di Sungai Panama. Bagaimanapun, polis yang menyiasat insiden tersebut menemui sepucuk pistol yang tidak berdaftar di bot yang dipandunya. Malah bot berkenaan mempunyai 'banyak kesan darah'. Media di Argentina menyiarkan gambar bot tersebut yang dilumuri darah, ditinggalkan di sebuah kelab di bandar Fighiera, berdekatan dengan rumah Matias di ladang persendirian di General Lagos. Ia bukan kali pertama Matias berdepan dengan undang-undang kerana didakwa memiliki senjata api secara haram. Abang kepada bintang Barcelona itu pernah dikaitkan dengan jenayah lampau, sehingga dipenjara selama 16 jam pada 2015 susulan penemuan sepucuk pistol di dalam keretanya. Dia juga ditahan pada 2008 kerana didakwa memiliki pistol yang dipasang pada tali pinggang. - Mail Online