PENGANTIN lelaki menangis pada hari pernikahan sesuatu yang jarang berlaku tetapi itulah realiti kehidupan yang menimpa Vinod Kumar. Pemuda berusia 29 tahun ini merayu-rayu minta ‘dibebaskan’ selepas dikatakan diculik dan diacu senjata api supaya berkahwin dengan seorang wanita yang tidak dikenalinya. Kejadian di Bihar, India ini dirakamkan ketika Vinod hadir pada majlis perkahwinannya yang tidak dirancang itu. “Kamu digantung ke? Kami hanya mengahwinkan kamu, jadi kenapa perlu kamu bimbang,” kata mertuanya apabila menantunya kelihatan menangis tanpa menghiraukan tetamu yang hadir pada majlis itu. Bekerja sebagai jurutera, Vinod bekerja di sebuah kilang besi di Jharkhand. Pemuda ini dipercayai menjadi mangsa “pakdua shadi”, di mana keluarga wanita menculik lelaki untuk dikahwinkan dengan anak mereka kerana tidak mampu melunaskan dowry atau wang belanja perkahwinan. Kejadian ini berlaku kerana ibu bapa terdesak untuk mencari pasangan anak perempuan kerana masalah kekurangan kaum lelaki. Insiden melibatkan Vinod terbongkar apabila mangsa menghubungi pihak media selepas majlis kahwin paksa itu. Katanya, dia diculik ketika setuju menemui kenalannya sebelum menghadiri sebuah majlis kahwin. Bagaimanapun, rakannya, Surendra Yadav telah merancang menculiknya sebelum membawanya untuk dinikahkan dengan adiknya. “Sebaik tiba di Gopkita, Surendra dan ahli keluarganya mengarahkan saya berkahwin dengan seorang perempuan. Seorang ahli keluarga itu mengacu pistol ke arah saya. “Selepas majlis itu, saya dikurung dalam sebuah bilik sepanjang malam. Keesokkannya saya menghubungi abang yang kemudian bergegas ke pekan ini dan menghubungi polis. Superitendan Lalan Mohan Prasad menafikan pihaknya meminta semua pihak supaya menyelesaikan perkara itu. Sebaliknya beliau berkata, perkara itu sedang diteliti dan tindakan akan diambil terhadap pihak terlibat.