suria

Wanita Terkejut Berbelas Cacing Keluar Dari Mata

Abby Beckley. -fotoFB

MERASAKAN ada sesuatu di matanya, seorang wanita cuba membuangnya kerana menyangka ia adalah bulu matanya yang luruh.

Apabila melihat di cermin, Abby Beckley ternampak sesuatu 'objek' lut sinar dan lebih mengejutkan, ia bergerak.

Kejadian ini berlaku pada musim panas 2016 dan dia yang ketika itu berusia 26 tahun menghabiskan beberapa minggu terakhir bekerja di sebuah bot nelayan komersil di Alaska.

"Mata kiri saya benar-benar rasa tak selesa dan merah. Saya juga migrain dan saya tak tahu apa yang sedang berlaku," katanya kepada CNN.

Dia akhirnya mendapati apa yang bergerak-gerak di matanya itu adalah cacing mata.

"Saya melihatnya dan ia bergerak. Dan kemudian ia mati dalam masa kira-kira lima saat," katanya kini yang berusia 28 tahun.

Dia sangat terdesak untuk mencari jawapan dan membuat carian internet untuk mencari maklumat. Namun tiada apa yang ditemuinya.

Doktor di tempatnya juga tidak dapat memberikan sebarang jawapan.

"Mereka kata tak pernah lihat kejadian seperti ini dan saya kemudian mendapati begitu banyak cacing di mata saya," katanya.

Dia akhirnya berjaya menarik keluar 14 ekor cacing selama tempoh tiga minggu.

Seminggu berlalu, dia mula menjadi lebih risau. Bolehkah cacing-cacing itu menjejaskan penglihatannya? Bagaimana jika ia masuk ke dalam otaknya?

Dia akhirnya bertemu seorang pakar di Portland, dan mereka juga ragu-ragu.

Ia tetap tidak membantu kerana cacing-cacing itu tidak muncul semasa janji temu dengan pakar.

"Pada suatu masa saya dapat rasakan ada seekor di mata saya dan saya beritahu doktor untuk segera melihatnya.

"Saya tidak dapat lupa bagaimana wajah mereka apabila melihat sesuatu bergerak di mata saya," katanya.

Sepasukan saintis di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika akhirnya mengenal pasti apa yang telah mendiami mata Beckley, dalam satu laporan yang diterbitkan pada Isnin.

Dia telah dijangkiti spesies cacing mata yang tidak pernah ditemui pada manusia sebelum ini. Dan wanita itu adalah kes pertama dan mencatat sejarah.

"Ini adalah kali ke-11 makhluk dijangkiti oleh cacing mata di Amerika Utara," jelas penulis utama Richard Bradbury.

"Tetapi apa yang benar-benar menarik adalah ia merupakan spesies baru yang tidak pernah menjangkiti manusia sebelum ini. Ia adalah cacing lembu yang entah bagaimana menjangkiti manusia."

Spesies yang berada di mata Beckley dipanggil 'thelaziagulosa' dan unik kepada lembu, yang bermaksud ia mungkin menjangkitinya melalui lembu berhampiran rumahnya yang terletak di ladang di Oregan sebelum dia pergi ke Alaska.

Walaupun cacing mata parasit lebih biasa pada haiwan dan binatang peliharaan serta boleh menyebabkan buta, ia jarang berlaku kepada manusia kerana mereka dapat menghapuskan cacing-cacing itu sebelum ia membiak.

Hanya dalam masa tiga minggu sejak mendapat tahu tentang cacing pertama, Beckley akhirnya menarik cacing terakhir.

Sejak itu, tiada lagi cacing di matanya dan dia tidak mengalami apa-apa komplikasi.

"Salah satu sebab saya menceritakannya kerana berharap saya dapat mencari satu artikel atau sumber yang akan meyakinkan saya bahawa ini berlaku kepada orang lain dan ia tidak bahaya," katanya kepada CNN.

cacing mata

Artikel Lain