suria

Isteri Suka Picit Muka, Suami Sediakan Jerawat Bernanah

JIKA anda suka melihat jerawat dipicit seperti yang sering muncul dalam video di YouTube atau media sosial, kini tidak mustahil untuk anda melakukannya sendiri.

Bagi yang berharap dapat memicitnya banyak jerawat, anda mungkin akan jatuh cinta dengan 'Pop It Pal', alat yang dicipta untuk memberi kepuasan kepada mereka yang gemar memicit jerawat.

Tahun 2017 adalah tahun 'fidget spinner', tetapi 2018 mungkin akan menjadi tahun 'Pop It Pal', sekeping daging palsu yang dipenuhi dengan 'nanah' atau 'white head' palsu yang nampak menjijikkan, membolehkan pengguna memicit jerawat palsu sepuas-puasnya.

'Pop It Pal' mempunyai 16 lubang jerawat yang mampu membuat anda rasa teruja setiap kali melihat nanah palsu terpancut keluar apabila dipicit.

Apa yang menjadikannya lebih menarik apabila setiap kit 'Pop It Pal' dilengkapi dengan sebotol 'nanah' yang boleh digunakan untuk mengisi semula mainan silikon ini, supaya anda dapat terus bermain dengannya selama mana anda suka.

'Pop It Pal' adalah buah fikiran Billy dan Summer Pierce, pasangan suami isteri pemicit jerawat yang lantang bersuara dan suka menonton jerawat dipicit dalam video.

"Jangan salah anggap mengenainya, kami memang sukakan sesuatu yang tidak disukai. Yup, ia adalah obsesi unik kami," tulis Billy di laman web 'Pop It Pal'.

"Suatu hari, saya dan isteri sedang menaiki kereta. Dia kata alangkah baiknya jika kami boleh mencipta jerawat yang nampak betul-betul seperti jerawat dan nanah yang keluar itu sangat banyak, seperti dalam video yang kami tonton.

"Jadi saya menghabiskan tahun seterusnya memikirkan cara untuk membuatkan ia benar-benar jadi kenyataan."

Billy mengakui dia berharap mainan itu akan membuatkan isterinya berhenti memicit setiap bintik hitam kecil yang dilihatnya di wajahnya dan ia akhirnya berjaya dilaksanakan.

Pasangan itu terpaksa berdepan dengan permintaan tinggi sejak 'Pop It Pal' dilancarkan awal tahun ini dan keadaan betambah buruk sejak ciptaan mereka tular minggu lepas.

Menurut laman web 'Pop It Pal', kerana jumlah pesanan yang tinggi, penghantaran boleh mengambil masa sehingga enam minggu di Amerika Syarikat dan sembilan minggu untuk pesanan antarabangsa.

Kit 'Pop It Pal' dijual pada harga AS$19,99 (RM78.60) dan kandungan nanah adalah semua organik yang diletakkan dalam botol isian semula berharga AS$5.99 (RM5.99).

Artikel Lain