PUTERA Henrik dari Denmark yang merupakan suami kepada Ratu Margrethe mangkat pada malam Selasa ketika berusia 83 tahun. "Yang Amat Mulia Putera Henrik mangkat ketika tidur," kata pegawai dari istana menerusi kenyataan yang dikeluarkan. "Ratu dan dua anakandanya berada di samping Tuanku ketika baginda mangkat." Putera Henrik dilahirkan di Perancis itu disahkan menghidapi tumor pada dua minggu lalu. Baginda dimasukkan ke hospital susulan penyakit itu ketika dalam lawatan peribadi ke Mesir. Sebelum mangkat, baginda dipindahkan dari sebuah hospital di Copenhagen ke Istana Fredensborg yang terletak di utara bandar itu bagi menghabiskan masanya di sana. Bagaimanapun, baginda enggan dikebumikan sebelah Ratu Margrethe sekiranya ratu itu mangkat suatu hari nanti. Baginda kekal dengan keputusan itu selepas tidak dimahkotakan sebagai seorang raja dan mendakwa isterinya tidak menghormati baginda semasa hayatnya. Putera Henrik mengahwini Ratu Margrethe pada 1967 dan dikurniakan dua anakanda lelaki, Putera Mahkota Frederik dan Putera Joachim. - Mirror UK