SEWAKTU isterinya melahirkan anak mereka pada 2016, seorang lelaki dari Afghanistan, Asadullah Poya mengambil keputusan untuk menamakan anaknya Donald Trump. Pada waktu itu, Donald Trump bukanlah seorang pemimpin politik yang dikritik hebat, namun dia hanyalah seorang jutawan selebriti terkenal. Poya yang mengagumi Trump setelah membaca terjemaan buku Trump: How To Get Rich berkata, dia suka akan kisah kejayaan ahli perniagaan itu. Disebabkan itu, dia mendapat inspirasi untuk menamakan anaknya dengan nama personaliti terkemuka itu. Dia turut berharap keputusan menamakan anaknya mengikut nama jutawan itu akan membawa nasib yang baik serta rezeki melimpah buat mereka. Ibubapa Poya bagaimanapun marah apabila dia menamakan anaknya dengan nama individu bukan Islam. Lebih teruk, imam di kampung mereka turut menyelar nama itu menerusi khutbah Jumaat dan menganggap ia sebagai satu penghinaan. "Setiap hari keadaan semakin teruk. Bila saya panggil nama anak saya, bapa saya semakin marah. Dia memang sudah tidak boleh bertoleransi mengenai hal ini," ujarnya. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai guru dan berpindah ke Kabul. Namun, perpindahan itu juga tidak memberi kesan baik kepada mereka. Pada Khamis, lima jirannya menemui tuan tanah tempat dia menyewa dan meminta agar Poya sekeluarga diusir kerana nama itu. Malah, dia dituduh menggunakan nama itu pada anaknya sebagai satu stratergi untuk memudahkan urusan memohon suaka perlindungan di Amerika Syarikat. Poya bagaimanapun tidak mahu meninggalkan negara asalnya. Jelasnya, dia tidak mahu nama anaknya menjadi bualan ramai namun sebaliknya terjadi apabila seorang pegawai kerajaan mendedahkan nama anaknya di Facebook. Dia dan isterinya juga terpaksa menutup akaun Facebook setelah mereka menerima pelbagai mesej kebencian dan ugutan bunuh. "Ia adalah satu nama sahaja. Nanti bila anak saya dah besar, dia boleh tukar nama itu kalau itu yang dia mahukan," kata Poya. Dalam pada itu, Poya turut berharap agar dia dapat menemui Donald Trump yang sebenar suatu hari nanti. Katanya, dia ingin berbicara dengan Presiden AS itu dan berharap agar dia dapat membawa keamanan di Afghansitan. Tambahnya, jika dia mendapat anak perempuan kelak, dia akan menamakan anaknya sebagai Ivanka Trump.-SouthChinaMorningPost