RAKYAT Indonesia berdepan risiko dipenjara jika mengkritik ahli politik negara itu menerusi perundangan yang baru dikuatkuasakan di negara demokrasi ke tiga terbesar dunia. Rang Undang-Undang itu diluluskan 560 anggota sidang Parlimen bulan lalu dan hanya dilaksanakan susulan tentangan Presiden Joko Widodo yang enggan menandatangani perundangan kontroversi itu. Jokowi tidak mempunyai kuasa veto ke atas rang undang-undang itu, walaupun ia boleh dicabar di Mahkamah Perlembagaan. Undang-undang yang dikenali sebagai MD3 itu membuka ruang untuk mengenakan tindakan terhadap sesiapa sahaja yang tidak menghormati anggota parlimen, bagaimanapun ia tidak menetapkan tempoh hukuman penjara. Indonesia adalah negara demokrasi ke tiga terbesar dunia selepas India dan Amerika Syarikat. Langkah kerajaan Indonesia memperkenalkan undang-undang ini mencetuskan kemarahan rakyat apabila ribuan berhimpun di luar Mahkamah Perlembagaan di Jakarta pada Khamis bagi membantah pelaksanaannya. Menurut jurucakap mahkamah, tiga petisyen telah diterima mencabar undang-undang itu. Bagaimanapun, proses berkenaan dijangka mengambil masa lama. Pemerhati menganggap perundangan baharu ini boleh menyebabkan pembabitan ahli politik tempatan dalam gejala rasuah makin berleluasa. Setakat ini, lapan pemimpin tempatan telah ditahan kerana rasuah termasuk Speaker Parlimen, Setya Novanto.